KEBIASAANNYA bertepuk tangan disaksikan ketika menghadiri majlis
keramaian dan persembahan. Sudah menjadi kebiasaan majlis berbentuk
Islam sunyi daripada tepukan gemuruh penontonnya. Bahkan suasana
sedemikian menampakkan kesuraman sesuatu program.
Apabila diteliti permasalahan ini, timbul beberapa perbahasan dalam
kalangan sesetengah orang agama bahawa bertepuk tangan itu diharamkan.
Ada pula mengeluarkan pendapat pelik ia boleh menyebabkan syaitan
melahirkan anaknya.
Bertepuk tangan di majlis keramaian adalah harus pada hukum syarak. Yang ditegah adalah sewaktu solat ataupun mengaitkannya dengan ibadah
Malah ada yang mencadangkan jika ingin menepuk tangan maka tepuklah
dengan belakang tapak tangan sebagai isyarat gantian. Persoalannya
adakah ini sesuatu ditetapkan agama.
Walaupun ada dibahaskan dalam bab solat oleh ulama asy-Syafi’iyyah
seperti Imam Ramli dan al-Bajuri, namun ia tidak membabitkan hukum
menepuk tangan di luar solat. Maka, ada pendapat mengharamkannya
berasaskan penghujahan dalil tertentu.
Firman Allah SWT bermaksud: “Tiadalah solat atau ibadah mereka di Masjidil Haram selain muka’ (siulan) dan tashdiyyah (tepuk tangan). Maka rasakan azab disebabkan kekafiran kamu.” (Surah al-Anfal ayat 35)
Pentafsir mentafsirkan ayat ini mengatakan perkataan al-muka’ (siulan) dan al-tashdiyyah
(tepuk tangan) yang dimaksudkan dalam surah al-Anfal ialah perbuatan
orang kafir yang mengganggu solat dan bacaan al-Quran Rasulullah serta
kaum muslimin.
Tepukan dan siulan itu mendatangkan rasa tidak senang kepada Rasulullah
dan orang Islam sehingga Rasulullah menegah perbuatan berkenaan. Ini
pandangan paling tepat dalam menceritakan sebab turunnya ayat menurut
Imam Jalaluddin as-Suyuti.
Al Qurtubi pula merujuk kepada pendapat Ibnu Abbas mengatakan,
masyarakat Quraisy jahiliah melakukan tawaf di Masjidil Haram dengan
bertelanjang, bertepukan dan bersiulan. Pada pandangan mereka ia adalah
ibadat. Ini juga pandangan Mujahid, As Suddi dan Ibnu Umar.
Merujuk sebab turun dan kisah di sebalik ayat 35 surah al-Anfal ini,
jelas pengharaman tepuk tangan secara umumnya adalah kepada orang yang
meniru perbuatan orang kafir dalam melakukan ibadah. Jika ibadah solat
diselang-selikan dengan bertepuk tangan maka secara jelas diharamkan.
Bagaimanapun, mengharamkan hukum menepuk tangan ketika di luar solat
adalah pengambilan dalil yang bukan pada tempatnya kerana ayat berkenaan
tertuju kepada mereka yang melakukan ibadat dengan cara bertepuk
tangan.
Sudah jelas kepada kita bertepuk tangan dalam solat seperti orang
jahiliah adalah dilarang. Namun, menepuk tangan di dalam solat dan di
luar solat berbeza. Maka penyabitan hukumnya juga berbeza.
Begitu juga sebahagian pendapat mengatakan menepuk tangan diharamkan
kepada lelaki berasaskan dalil hadis sahih yang bermaksud: “Barang siapa
yang ingin membaiki kesalahan dalam solat hendaklah dia bertasbih
(dengan berkata subhanallah). Sesungguhnya apabila dia berkata demikian,
imam akan berpaling kepadanya (memberi perhatian). Dan sesungguhnya
bertepuk tangan itu adalah khusus untuk wanita.” (Hadis riwayat Bukhari
dan Muslim)
Perbuatan itu dilarang kerana termasuk dalam tasyabbuh (menyerupai)
wanita seperti dinyatakan hadis bahawa hal semacam itu hanya khusus bagi
wanita ketika memperingatkan imam yang tersilap dalam solat sementara
lelaki disuruh mengingatkan imam dengan ucapan tasbih.
Hadis ini khusus mengenai bertepuk tangan dalam solat. Kes berlaku
apabila seorang imam melakukan kesilapan maka makmum wanita hanya boleh
menepuk tangan sebagai isyarat membetulkan imam. Ia tidak boleh menjadi
dalil menegah bertepuk di luar solat seperti disebut oleh Al Imam Ibnu
Hajar Al Haitami.
Pengharaman hukum menepuk tangan dalam sesuatu majlis itu tertolak
kerana masih lagi didasari dalil agak lemah. Penulis cenderung kepada
pandangan beberapa ulama yang membenarkannya seperti Syeikh Atiyyah
Saqr, yang mengharuskannya kerana tiada dalil mengharamkan.
Menurut kaedah fiqh Islam, asal sesuatu perkara adalah harus. Maksudnya,
sesuatu perkara yang tidak diberitakan oleh syariat dipandang harus
hukumnya. Namun, ia boleh menjadi haram mahupun wajib jika disertakan
dalil yang menyuruh.
Pengarang kitab al-Hafl al-Zifaf fi al-Fiqh Islam, Syeikh Rafiq Abd Aziz
As-Sobbagh, berkata tepuk tangan perbuatan manusia yang biasa. Hukumnya
berdasarkan faktor ia dilakukan.
Hukum bertepuk tangan dalam majlis asalnya mubah (perkara diharuskan)
sebab bertepuk tangan termasuk perbuatan jibiliyah (af’al jibiliyyah)
yang hukum asalnya mubah, sepanjang tidak ada dalil mengharamkan.
Perbuatan jibiliyah adalah perbuatan secara alamiah (fitrah) dilakukan
manusia sejak penciptaannya dan menjadi bahagian yang tidak terpisah
dari sifat kemanusiaannya seperti berfikir, bercakap, berjalan, berlari,
melompat, duduk, makan, minum, mendengar, melihat dan seterusnya.
Menepuk tangan itu sesuatu yang diharuskan syarak. Ia boleh menceriakan
sesuatu majlis terutama bagi menggembirakan kanak-kanak. Walaupun
begitu, hukumnya boleh menjadi haram apabila bertepuk tangan dalam
pertunjukan hiburan yang tidak syarak, pembukaan aurat atau menghina
serta mengejek orang lain.
Bertepuk tangan di luar solat sama ada di majlis keramaian adalah harus
pada hukum syarak. Yang ditegah adalah sewaktu solat ataupun
mengaitkannya dengan ibadah. Begitu juga niat orang yang bertepuk tangan
untuk mengejek, menghina ataupun memuji orang yang tidak sepatutnya.
Tegakkan hukum agama atas dasar hujah dan dalil kerana agama tertegak
bersandarkan kepada al-Quran dan sunnah, bukannya dakwaan atau sangkaan
semata-mata tanpa menilai dari mana asal usulnya.
No comments:
Post a Comment