Thursday, 11 April 2013

Chelsea hampiri sejarah baharu



RAMIRES (kiri) tidak mahu melepaskan peluang menjulang trofi Liga Europa musim ini.


PARIS - Chelsea semakin hampir untuk melakar sejarah menjadi kelab keempat yang memenangi kesemua tiga pertandingan utama di Eropah.
Skuad The Blues bakal melayakkan diri ke separuh akhir Liga Europa sekiranya berjaya menewaskan Rubin Kazan pada aksi suku akhir kedua di Stadium Luzhniki malam ini.
Ketika ini, anak-anak buah Rafael Benitez memiliki kelebihan selepas menang 3-1 pada pertemuan pertama di Stamford Bridge minggu lalu.
Untuk rekod hanya Juventus, Ajax Amsterdam dan Bayern Munich pernah memenangi trofi Liga Juara-Juara, Piala Pemenang-Pemenang Piala dan Piala UEFA.
"Kami memiliki kelebihan. Kami tahu perlawanan kedua pasti menjadi sukar kerana beraksi di tempat lawan. Jadi, kami perlu menang dan menjaringkan tiga gol lagi.
"Sebenarnya kami mahu layak ke kempen Liga Juara -Juara tetapi pasukan juga tidak boleh melupakan trofi yang dikejar ini," kata pemain tengah Brazil, Ramires.
Pendirian Ramires berbeza dengan rakan sepasukannya, John Mikel apabila pemain Nigeria tersebut tidak mempedulikan pertandingan yang dilabel sebagai divisyen kedua di Eropah itu.
"Saya tidak berminat dengan Liga Europa tetapi apabila saya mendengar lagu Liga Juara-Juara, saya akan rasa kelainannya.
"Saya rasa kecewa apabila melihat perlawanan Liga Juara-Juara dan kami terpaksa beraksi keesokan harinya," kata Mikel.
Sementara itu, seteru Chelsea dalam liga domestik, Tottenham bakal berhadapan laluan sukar apabila mereka berkunjung ke Basel untuk bertemu pendahulu Liga Switzerland selepas mereka sekadar seri 2-2 di White Hart Lane minggu lepas.
Pengurus Tottenham, Andre Villas-Baos juga bakal menghadapi masalah ketiadaan tiga tonggak utama iaitu Gareth Bale, Aaron Lennon dan William Gallas yang masih dibelenggu kecederaan.
Begitupun, Lewis Holtby yang menyertai Tottenham pada Januari lepas percaya Spurs masih mempunyai peluang untuk tersenarai dalam kelompok empat pasukan terbaik Liga Europa.
"Kami beraksi dengan baik di tempat lawan. Kami juga mencatat keputusan yang baik musim ini.
"Jadi, situasi pasukan masih positif dan keyakinan kami juga tinggi," kata pemain antarabangsa Jerman itu.
Pada dua lagi aksi suku akhir, Benfica akan beraksi di Newcastle selepas menang 3-1 di laman sendiri manakala Lazio yang melayan kunjungan Fenerbache di Rom perlu memadamkan kelebihan 0-2 kelab Turki itu. - AFP

No comments:

Post a Comment