Tuesday, 9 April 2013

Baru bercinta sebulan




ANGIN cinta antara aktres Nabila Huda dan pelakon serta pengacara Nas-T sudah lama bertiup kencang. Bagaimanapun, sebelum ini, hanya Nabila seorang yang membuka mulut mengenai cinta mereka berdua.
Namun, pada majlis Anugerah Bintang Popular (ABP) 2012 yang berlangsung di Stadium Putra Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada malam Ahad lalu, telah dirakamkan secara langsung momen Nabila memeluk dan mencium pipi Nas-T yang duduk di sebelahnya apabila namanya diumumkan sebagai pemenang Pelakon TV Wanita Popular.
Enggan berselindung atau hipokrit, Nabila atau nama sebenarnya Nabila Huda Suhaimi yang ditemui usai majlis anugerah mengakui dia terkejut ketika diumumkan sebagai pemenang. Tindakan memeluk orang kesayangan adalah respons spontan yang dilakukannya.
“Memang saya terkejut sebab saya sendiri tidak jangka saya akan menang. Jadi, apabila nama saya diumumkan respons spontan saya memeluk orang kesayangan.
“Selain Nas-T, saya juga salam dan peluk rakan-rakan saya yang lain. Bagi saya, itu sekadar pelukan sahabat sebagai cara saya berkongsi kegembiraan,” ujar anak sulung rocker terkenal Amy Search ini.
Disoal adakah dia menyedari atau tidak, tingkah lakunya itu disiarkan secara langsung di kaca televisyen dan pastinya mengundang persepsi negatif kepada penonton, Nabila mempunyai jawapannya.
“Saya sentiasa menjadi diri saya sendiri. Saya tidak kisah orang lain ingin bercakap apa tentang diri saya kerana mulut orang saya tidak boleh tutup.
“Buat apa saya ingin hidup hipokrit. Saya senang menjalani kehidupan saya dengan cara saya sendiri. Saya lebih suka jika orang di luar sana juga tahu siapa sebenarnya diri saya.
“Memang saya akui, saya agak gila-gila tetapi saya tidak pernah kacau hidup orang lain,” ujarnya yang anggun menggayakan busana Alia Bastamam pada malam tersebut.
Nabila yang sebelum ini dikaitkan dengan pelakon Johan As'ari mengakui kini hatinya milik Nas-T. Malah ketika bercerita tentang Nas-T yang merupakan sahabat baiknya sejak zaman remaja lagi, senyuman bahagia terpancar di bibirnya.
“Memang saya dan Nas-T berkawan sudah lama. Kami saling mengenali antara satu sama lain sebelum masing-masing jadi pelakon. Cuma bercinta itu baru sebulan, saya sendiri tidak sangka tetapi saya bahagia bila bersamanya.
“Sebelum ini ketika dikaitkan dengan Johan, saya tidak mengaku sebab memang kami tidak bercinta. Bila saya betul-betul bercinta, saya akan mengaku. Buat apa kami sembunyikan hubungan cinta kerana akhirnya orang akan tahu juga,” katanya jujur.
Teman sehati sejiwa

SEDANG ingin bercinta. Nabila dan Nas-T yang baru sebulan bercinta tidak menolak untuk berkahwin jika jodoh antara mereka kuat.


Sudah dua tahun hidup bersendirian bersama anaknya, Keisha Laila, 3, sejak bercerai dengan bekas suami, Zaidi Zailani, Nabila mengakui akhirnya dia bertemu dengan teman sehati sejiwanya. Banyak perkara tentang Nas-T yang menarik untuk mencintai pelakon filem Kami itu.
Bukan kerana dipaksa atau terpaksa untuk bercinta, tetapi perasaan antara mereka terbit dengan sendirinya.
“Saya tidak suka berubah kerana lelaki, saya mahu lelaki itu terima saya seadanya. Nas-T merupakan kawan baik saya, jadi dia tahu baik buruk perangai saya. Jadi, dengan dia saya menjadi diri sendiri dan dia terima saya seadanya.
“Dia merupakan sahabat baik dan kekasih, kami saling memahami. Itu yang membuatkan kami serasi kerana kami boleh berbincang apa sahaja bersama. Sebelum ini jika ada masalah, saya akan cerita pada dia, begitu juga sebaliknya,” ujar Nabila.
Meskipun baru bercinta sebulan dan Nas-T belum lagi berjumpa dengan bapa Nabila, Amy Search, namun, Nabila tidak menolak andai ada jodoh antara mereka.
“Sudah dua tahun saya hidup solo dan sebelum ini, jika ditakdirkan kami mempunyai jodoh bersama saya tidak menolak kerana bukan senang untuk berjumpa dengan orang yang benar-benar faham diri saya,” katanya yang sudah mengenali keluarga Nas-T.
Tambah Nabila, anak perempuan tunggalnya juga menerima kehadiran Nas-T tanpa sebarang masalah. Bahkan, mereka berdua sudah semakin rapat.
“Paling penting orang yang sayang saya harus sayang anak saya juga. Nas-T semakin rapat dengan Keisha dan saya lihat dia boleh menerima kehadiran Nas-T dengan baik. Hubungan kami tidak ada masalah kerana dia cukup tahu tentang masalah dan sejarah hidup saya sebelum ini,” kata Nabila.
Artis kontroversi, artis disiplin
Bercakap tentang anugerah Pelakon TV Wanita Popular yang diperolehnya sejak bergelar pelakon pada usia 16 tahun, Nabila cukup terharu dan tidak menyangka yang dia menjadi pilihan peminat.
Walaupun hangat dengan pelbagai kontroversi panas, Nabila berjaya membuktikan bahawa dia seorang pelakon yang berbakat besar dan anugerah yang dimenanginya itu merupakah anugerah khas buat ayahnya.
“Anugerah ini untuk papa (Amy Search). Akhirnya saya telah berjaya membanggakan papa dengan pencapaian dalam kerjaya saya sebagai pelakon. Sebelum ini apa sahaja tindakan saya serta kontroversi yang timbul, kesan negatif itu akan dirasai papa.
“Saya banyak lukakan hatinya, jadi anugerah ini sangat bermakna untuk saya kerana sebagai anak, akhirnya saya berjaya membuktikan kepadanya, saya juga boleh berjaya,” jawabnya.
Ulas Nabila, meskipun dirinya dicop sebagai artis kontroversi, tetapi apabila bekerja dia merupakan artis yang berdisiplin.
“Saya mengaku yang saya banyak kontroversi dan cerita yang kurang enak, tetapi saya tetap bangun pagi setiap hari untuk bekerja. Paling penting harus disiplin, jika tidak saya tidak akan berada di sini hari ini,” ungkapnya.
Drama Julia lakonan Nabila memberi impak yang besar dalam kerjayanya dan diakui drama itu antara punca dia diundi oleh peminat.
“Terima kasih kepada peminat yang mengundi dan terima kasih kepada penerbit dan pengarah yang memberi saya peluang untuk berlakon dalam drama Julia. Bagi saya, drama Julia memberi impak yang sangat besar kerana drama itu mempunyai skrip yang bagus dan berjaya menonjolkan bakat lakonan saya,” tuturnya lagi.
Sungguhpun telah menerima anugerah, Nabila enggan berubah dan tetap menjadi dirinya sendiri. Tiada istilah demand dalam kamus kerjayanya.
“Menang anugerah satu bonus untuk artis, tetapi itu tidak bermakna saya perlu berubah. Saya masih Nabila Huda yang sama. Saya tidak pernah pilih skrip kerana kebetulan setiap skrip drama yang saya peroleh semuanya bagus-bagus. Cuma mungkin tuah saya ada bersama dengan drama Julia.
“Anugerah bukan satu bebanan untuk saya tetapi sebagai sokongan moral untuk saya berusaha dengan lebih keras pada masa hadapan,” katanya dengan penuh beremosi.

No comments:

Post a Comment