Saturday 23 March 2013

2 strategi jaga keselamatan

Polis menyediakan dua strategi keselamatan jangka panjang dan pendek bagi memastikan keselamatan pasukan dan penduduk di Lahad Datu, Sabah.
Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar berkata, strategi berkenaan sebagai persediaan pihaknya menjaga keamanan supaya terus terjamin dan penduduk dapat meneruskan aktiviti seperti biasa.

“Jangka masa pendek membabitkan tambahan anggota tentera dan forensik. Malah, Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga turut mengukuhkan kehadiran anggotanya di beberapa kawasan sensitif.
“Jangka masa panjang membabitkan kehadiran anggota keselamatan secara berterusan di kawasan dicerobohi pengganas dan penubuhan kawasan Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) sepanjang 1,400 kilometer di pantai timur Sabah. Ini diharap dapat mengekalkan keselamatan di Sabah,” katanya ketika sidang media majlis penutup Persidangan Pesuruhjaya Polis/Ketua Polis Negeri/Komander dan Komandan di Maktab PDRM Cheras, di sini, semalam.

Beliau berkata, strategi itu selaras dengan penubuhan lima balai polis baru di Pulau Gaya, Kota Kinabalu; Pulau Bum-Bum dan Pulau Mabul di Semporna serta Tanjung Labian dan Felda Sahabat di Lahad Datu.

“Langkah itu diambil untuk memastikan kita terus berada dalam keadaan bersedia. Saya juga meminta pengurusan dan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) sekiranya perlu berkemungkinan kita akan menghantar pegawai dan anggota (ke Sabah) secara bergilir-gilir.
“Saya percaya, keadaan sekarang ini musuh memang tertekan. Mereka terdesak kerana tahu rakan sudah ditangkap dan dakwa di mahkamah,” katanya. Selain itu, Ismail berkata, isu pencerobohan pengganas di Sabah antara yang dibincangkan dalam persidangan untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) selain perbincangan persiapan polis.

“Anggota keselamatan telah menambah baik persiapan awal PRU13 dan kini bersedia untuk mengawal keselamatan sepanjang PRU berlangsung,” katanya.
Secara peribadi, Ismail melihat keadaan di Sabah turut kembali seperti normal apabila sesi persekolahan berjalan seperti biasa, orang ramai mula keluar rumah ke pekan dan kedai makan.

No comments:

Post a Comment