Berbanding dengan makhluk lain, manusia dikurniakan kelebihan
untuk menjadi khalifah atau pentadbir di atas muka bumi ini. Ciri-ciri
tertentu yang ada pada manusia menjadikan ia makhluk yang serba hebat.
Namun kehebatan tersebut kadangkala tenggelam di sebalik kejahilan
manusia terhadap sifat semulajadinya. Mengetahui ciri-ciri ini adalah
titik permulaan yang boleh membangkitkan kehebatan seseorang dan
menyerlahkan fitrah manusia selaku insan yang unggul.

Ciri
pertama adalah keunikan manusia. Setiap manusia adalah berbeza baik
dari segi fizikal ataupun non-fizikal. Hatta, kembar seiras sekalipun
terdapat perbezaan walaupun tidak ketara pada pandangan mata kasar.
Keunikan ini bermakna masing-masing mempunyai kelebihan dan kekurangan
tersendiri. Jika manusia sedar dan mengambil kira hakikat ini dalam
bersosialisasi, maka seseorang pasti menemui kehebatan diri di tempat
yang khusus bagi dirinya. Misalnya, seorang yang suka menyendiri tetapi
banyak berfikir dan memerhati adalah lebih adil menjadi seorang
‘think-tank’ berbanding seorang ahli politik.

Ciri
kedua manusia adalah ia dikurniakan oleh Tuhan akal untuk berfikir.
Akal dapat menafsir maklumat berdasarkan panduan iman untuk menentukan
baik buruk sesuatu perkara. Berbekalkan ilmu pengetahuan dan pengalaman,
seseorang mampu membuat analisis dan menghasilkan keputusan yang
bijaksana. Permasalahannya ialah kita tidak dilatih untuk berfikir atau
kita tidak disemai budaya cintakan ilmu pengetahuan. Apabila akal kering
dengan ilmu, otak manusia yang mampu memproses maklumat lebih pantas
dan banyak daripada komputer menjadi beku dan jumud.

Seterusnya
adalah ciri manusia yang mampu memilih untuk menentukan tindakan dan
tingkah lakunya. Manusia bukan makhluk yang hanya tahu bertindak balas
terhadap persekitarannya. Ia mampu berfikir dan mempunyai gerak hati.
Manusia sentiasa mempunyai pilihan. Sama ada pilihan itu bersifat
‘win-win situation’ atau ‘win-lose situation’, manusia tetap diberi
pilihan. Maka, impak sesuatu perbuatan bergantung kepada diri sendiri.
Namun, kadangkala oleh kerana batas-batas kita sebagai makhluk, impak
tersebut mungkin di luar jangkaan akal.
Ciri terakhir manusia adalah keupayaan untuk mengadaptasi terhadap
persekitarannya. Manusia diketahui sebagai seorang ‘survivor’. Selama
beribu-ribu tahun, ia berjaya menyesuaikan dirinya dengan pelbagai
perubahan agar terus kekal. Pengadaptasian tersebut bukan sahaja dari
sudut survival diri, malah penyesuaian terhadap pelbagai ragam dan
budaya masyarakat. Misalnya, orang Melayu dari Malaysia yang menetap di
Australia telah terbukti boleh menyesuaikan diri bukan sahaja dari segi
cuaca, malah cara hidup dan pergaulan.
No comments:
Post a Comment