Sunday, 24 March 2013

Perpaduan senjata ampuh pertahan keamanan negara - Ezam


KLANG 24 Mac - Rakyat pelbagai kaum diingatkan supaya sentiasa memelihara dan mengukuhkan semangat perpaduan di kalangan mereka bagi memastikan keamanan negara tidak dapat digugat oleh mana-mana pihak.
Menganggap perpaduan sebagai 'senjata paling ampuh' yang dapat menjamin keamanan, Ahli Dewan Negara, Senator Ezam Mohd. Noor tidak menolak kemungkinan ada pihak tertentu akan berusaha melemahkan semangat itu untuk menyerang dan memecahbelahkan negara.
"Rakyat perlu sedar dan berwaspada terhadap kemungkinan ada pihak-pihak tertentu yang mencemburui kejayaan Malaysia dan mahu melihat negara dalam keadaan tidak aman.
"Begitu juga dengan kewujudan tali barut yang rakus politik sehingga menjadi perkakas serta alat kepada pihak tertentu untuk melemahkan perpaduan di kalangan rakyat negara ini.
"Justeru, semua rakyat berbilang kaum harus berpegang dan kukuhkan perpaduan yang dibina sejak sekian lama hasil perjuangan bapa-bapa pengasas kita membina negara ini menerusi parti Barisan Nasional (BN)," katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program Sarapan Pagi 1Malaysia yang dihadiri lebih 1,000 rakyat pelbagai kaum di Taman Klang Jaya, di sini hari ini.
Program tersebut merupakan anjuran Gerakan Belia 4B Taman Desa Utama dan Pusat Daerah Mengundi (PDM) BN Taman Klang Jaya II yang bermatlamatkan memupuk perpaduan serta kesedaran rakyat mengenai pentingnya memelihara keamanan di negara ini.
Pada masa sama, program itu turut mengumpulkan sokongan rakyat kawasan terbabit terhadap para pejuang negara yang sedang menjalankan tugas memelihara kedaulatan negara daripada ancaman pengganas di Lahad Datu, Sabah.
Menurut Ezam, pencerobohan Lahad Datu adalah satu contoh yang jelas wujudnya pihak yang cuba menggugat keamanan negara.
"Pencerobohan Lahad Datu adalah secara fizikal yang kita nampak, namun ada serangan yang kita tidak nampak. Maka, perpaduan rakyat berbilang kaum amat penting sebagai satu jaminan keamanan dan kemakmuran negara terus dikekal dan dipertahankan pada masa depan," ujarnya. -

No comments:

Post a Comment