Monday 25 March 2013

Pendatang ada dokumen asal akan dihantar pulang


PUTRAJAYA 25 Mac - Hanya pendatang tanpa izin yang tidak mempunyai dokumen negara asal, penduduk tanpa negara dan warga tempatan yang terbabit sahaja akan terlibat dalam proses penempatan semula penduduk di beberapa kawasan di timur Sabah.
Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail berkata, pendatang tanpa izin yang mempunyai dokumen negara asal dan dibuktikan oleh negara berkenaan pula akan dihantar pulang.
Dalam sidang akhbar di pejabatnya di sini, Abdul Gani berkata, kebanyakan pendatang tanpa izin tidak memiliki dokumen negara asal, manakala penduduk tanpa negara terutama generasi kedua dan ketiga yang tinggal di Sabah mempunyai hak untuk dilindungi.
"Janganlah pula kita dikatakan lebih memuliakan binatang daripada manusia. Keadaan ini disebabkan faktor sejarah serta persempadanan antara negara, oleh itu hanya yang ada dokumen sahaja kita akan hantar pulang," katanya.
Menurut beliau, semua hak penduduk yang dipindahkan akan dijaga terutama dari sudut keselamatan, kesihatan, hak untuk mengundi, kemudahan pekerjaan, tempat tinggal dan pendidikan asas.
Penduduk tempatan yang terjejas akibat penempatan semula itu, katanya, akan dibayar pampasan dalam bentuk yang ditentukan kemudian.
Katanya, mana-mana penduduk yang terkilan berikutan proses penempatan semula atas dakwaan hak mereka tidak dipenuhi boleh mencabar keputusan tersebut di mahkamah.
"Kerajaan juga menubuhkan Lembaga Pelawat yang dianggotai penjawat awam dan wakil organisasi tertentu untuk memantau secara bulanan sejauh mana matlamat penempatan semula itu tercapai," katanya.
Gani berkata, elemen penting dalam proses penempatan semula itu adalah tuntutan supaya jawatankuasa yang ditubuhkan di bawah Peraturan-Peraturan Pemeliharaan Keselamatan Awam 2013 berunding dengan ketua daerah, ketua anak negeri dan ketua komuniti di pelbagai peringkat bagi membolehkan segalanya berjalan lancar.
Katanya, rundingan di peringkat bawahan itu amat penting bagi mengiktiraf kedudukan mereka di dalam masyarakat supaya segala urusan atau bantahan dapat diketahui.
Beliau berkata, penduduk yang ditempatkan di kawasan baharu itu akan menjalani proses pendaftaran sekurang-kurangnya untuk memaklumkan bahawa mereka adalah dari kawasan berkenaan.
Mengulas lanjut, Abdul Gani menarik perhatian mengenai kos penempatan semula yang amat tinggi, hal yang demikian mendorong Malaysia untuk mendapatkan bantuan teknikal, kewangan serta nasihat profesional dari badan-badan dunia yang berkaitan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan penubuhan Zon Selamat Sabah Timur (Esszone) yang melibatkan 10 daerah iaitu Kudat, Kota Marudu, Pitas, Beluaran, Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Tawau.
Esszone memberi asas perundangan kepada Eastern Sabah Security Command (Esscom) diwartakan pada 24 Mac lalu dan berkuat kuasa hari ini.
Selain Esszone, Perdana Menteri turut mengumumkan inisiatif penempatan semula yang akan dilaksanakan kerajaan demi menjaga keselamatan penduduk di kawasan yang terbabit berikutan serangan pengganas di Lahad Datu dan Semporna baru-baru ini.

No comments:

Post a Comment