Monday, 25 March 2013

Belasah San Marino 8-0



DEFOE (kanan) menjaringkan dua gol ketika membantu England membelasah San Marino kelmarin.


SAN MARINO - Tanpa rasa belas kasihan, England membelasah pasukan ranking ke-207 Dunia (FIFA), San Marino 8-0 pada perlawanan kelayakan Piala Dunia 2014 kelmarin.
Untuk rekod, kemenangan itu merupakan yang terbesar pernah dicatat oleh skuad The Three Lions dalam tempoh 26 tahun.
Jermain Defoe menyumbang dua gol pada perlawanan tersebut manakala penyerang prolifik England, Wayne Rooney turut mencatat nama selaku penjaring gol menjadikan rekod jaringan antarabangsanya kepada 34 gol setakat ini.
Selain itu, Alex Oxlade-Chamberlain, Frank Lampard, Ashley Young dan Daniel Sturridge, masing-masing menyumbang satu gol manakala satu lagi gol 'dihadiahkan' oleh pemain San Marino, Alessandro Della Valle.
Kali terakhir England mencatat kemenangan besar adalah pada tahun 1987 ketika menewaskan Turki 8-0 dalam satu aksi kelayakan Kejohanan Eropah.
Dalam pada itu, perlawanan itu juga boleh dianggap sebagai medan pemanas badan buat jentera serangan England sebelum menghadapi pendahulu Kumpulan H, Montenegro, Selasa ini.
"Tiada apa yang boleh saya katakan kerana ini merupakan aksi terbaik. Ia merupakan keputusan paling baik, terbaik, persembahan sangat profesional daripada semua pemain, dan sudah tentu kami berada dalam kelas tersendiri," jelas jurulatih England, Roy Hodgson.
Lebih membanggakan, pencapaian itu dicatatkan oleh sebahagian besar bukan pemain-pemain utama dalam skuad England.
Ketika perlawanan berehat pada separuh masa pertama, England selesa mendahului dengan jaringan 5-0 dan untuk rekod, jaringan terbesar yang pernah dicatat oleh pasukan itu adalah kemenangan 13-0 ke atas Ireland pada tahun 1882.
Kapten England, Steven Gerrard, Ashley Cole dan Glen Johnson yang direhatkan dalam perlawanan kelmarin akan kembali diturunkan pada Selasa ini. - Agensi

No comments:

Post a Comment