SURABAYA - Skuad Indonesia percaya pertemuan mereka dengan Malaysia dalam aksi ketiga Kejohanan Badminton Piala Axiata 2013 hari ini bakal menjadi penentu kepada pasukan yang akan menjadi pemimpin peringkat kumpulan pada pusingan awal minggu pertama.
Indonesia bagaikan semakin goyah untuk berhadapan dengan Malaysia apabila beberapa tonggak utama mereka, Sony Dwi Kuncoro dan Mohammad Ahsan tidak dapat beraksi pada kejohanan yang menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan AS$1 juta (RM3.11 juta) itu.
Sony terpaksa menarik diri akibat masalah kecederaan, manakala Mohammad Ahsan memohon pelepasan kerana mahu melangsungkan perkahwinan pada minggu ini.
Jurucakap Persatuan Bulutangkis Seluruh Indonesia (PBSI), Bambang Roedyanto berkata: "Hampir separuh daripada pemain yang didaftarkan pada kejohanan ini tidak dapat beraksi atas masalah yang tidak dapat dielakkan.
"Mereka yang boleh beraksi hanyalah pemain-pemain yang turun menentang Vietnam semalam (kelmarin) dan Singapura hari ini (semalam)."
"Hendra Setiawan, Muhammad Ahsan, Dionysius Hayom Rumbaka, Tontowi Ahmad, Liliyana Natsir, Lindaweni Fanetri merupakan antara pemain-pemain dalam skuad kebangsaan Indonesia yang diberikan tanggungjawab untuk beraksi pada pusingan awal selepas beraksi di Eropah baru-baru ini.
Begitupun, penangguhan jadual penerbangan membuatkan mereka tiba lewat di Surabaya pada pagi kelmarin.
Sementara itu, Bambang turut memberitahu bahawa ranking dunia yang dimiliki setiap pemain Indonesia dan Malaysia tidak akan menjadi pengukur buat kedua-dua pasukan itu.
"Ranking tidak memberikan apa-apa, semuanya bergantung kepada persembahan mereka pada hari perlawanan, dan bukan bergantung dengan apa yang tercatat dalam buku prestasi," tambahnya.
Setakat ini, Indonesia muncul sebagai pendahulu kumpulan setelah meraih mata penuh dalam dua aksi awal selepas menewaskan Vietnam dan Singapura 4-0.
No comments:
Post a Comment