Monday, 25 March 2013

Semangat juang tinggi selubungi sambutan Hari Polis di zon merah


KHALID Abu Bakar bersalaman dengan anggota komando polis VAT 69 ketika majlis sambutan Hari Polis di Felda Sahabat, Lahad Datu hari ini. - UTUSAN
LAHAD DATU 25 Mac - Kemeriahan sambutan Hari Polis ke-206 di ibu negara turut dikongsi anggota Sang Saka Biru yang bertugas mempertahankan tanah air daripada ancaman penceroboh militan di sini.
Kira-kira 200 pegawai dan anggota pelbagai pangkat diketuai Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkumpul seawal 8 pagi di ruang legar Felda Residence di Felda Sahabat 16 dekat sini, untuk berkongsi kebanggaan menyaksikan perbarisan dan perarakan yang diadakan di Pusat Latihan Polis (Pulapol) melalui layar lebar yang disediakan.
Biarpun masih diselubungi rasa sayu berikutan kehilangan anggota dalam pertempuran menentang pengganas Kiram dari selatan Filipina yang mendarat di Kampung Tanduo pada 12 Februari lepas, inisiatif Radio Televisyen Malaysia (RTM) menyediakan siaran secara langsung itu dilihat terus membakar semangat juang anggota pasukan keselamatan negara.
Pegawai dan anggota yang lengkap dengan pakaian seragam unit masing-masing dilihat memberi tumpuan penuh kepada acara yang ditayangkan, terutama ketika Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berucap pada sambutan bertemakan 'Komuniti Sejahtera Komitmen Kami'.
Penghargaan dan pelbagai insentif yang diungkap Perdana Menteri semasa berucap mendapat tepukan gemuruh daripada mereka.
Sementara itu, Khalid yang ditemui kemudian berkata, walaupun tidak dapat bersama-sama meraikannya di Pulapol, kemeriahan sambutan secara sederhana di Felda Sahabat tetap terasa menerusi aura semangat juang yang ditunjukkan setiap anggota terbabit.
Beliau juga yakin anggota di barisan hadapan yang tidak dapat bersama-sama meraikan hari yang menjadi kebanggaan pasukan Sang Saka Biru itu masih bersemangat tinggi dalam melaksanakan amanat yang diberikan.
"Kepada mereka saya ucapkan syabas dan kuatkan semangat kerana apa jua yang dilakukan ketika ini adalah janji yang dilafaz semasa mula memasuki perkhidmatan bahawa kita akan mempertahankan kedaulatan setiap inci negara," katanya.
Khalid juga memohon supaya setiap keluarga anggota polis terus mendoakan keselamatan dan kesejahteraan semua anggota yang sedang melaksanakan amanah negara mendepani cabaran pengganas di perbatasan.
Pertempuran antara pasukan keselamatan dan kumpulan pengganas Kiram yang menceroboh Sabah sejak 12 Februari lepas telah mengorbankan dua anggotanya di Kampung Tanduo manakala enam lagi anggota polis gugur dalam serangan hendap di perkampungan air di Semporna. -

No comments:

Post a Comment