Saturday, 23 March 2013

Tindakan polis di Sabah ikut perundangan negara - KPN


KUALA LUMPUR 23 Mac - Penahanan dan pendakwaan terhadap lapan rakyat Filipina berkaitan kes pencerobohan Sabah dibuat berdasarkan perundangan negara, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar.
Beliau berkata polis mempunyai cukup bukti dan Jabatan Peguam Negara yang berpuas hati dengan kertas siasatan polis mengambil tindakan mendakwa mereka di mahkamah.
Khamis lepas, lapan daripada 108 individu yang ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (Sosma) dituduh di Mahkamah Tinggi Tawau di bawah Kanun Keseksaan.
Dua daripada mereka menghadapi tuduhan melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong dan menjadi anggota kumpulan pengganas, empat didakwa menjadi anggota kumpulan pengganas dan dua lagi dituduh cuba melindungi kumpulan pengganas.
Serentak itu Ismail menolak dakwaan Jamalul Kiram bahawa lapan individu terbabit adalah rakyat Malaysia.
"Polis tidak akan menahan seseorang tanpa mempunyai bukti-bukti yang kukuh," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat tahunan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) di Bukit Aman, di sini hari ini.
Mesyuarat itu dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Ismail berkata sebarang tindakan polis di Sabah adalah berdasarkan undang-undang negara ini.
Mengenai ESSCOM, Ismail berkata pelaksanaannya akan dilakukan dalam masa terdekat dengan langkah segera menubuhkan beberapa balai polis menggunakan kabin di lokasi strategik.
"Kita dah setuju strukturnya, kita dah setuju konsepnya. Saya pun sendiri dah beritahu kepada ketua menteri Sabah dan kerajaan bahawa kita nak tambah keanggotaan polis di Sabah, macam satu lagi briged di Sabah," katanya.
Mengenai mesyuarat itu, Ismail berkata antara perkara yang dibincangkan ialah program-program pada masa depan dan usaha untuk membolehkan MCPF bergerak dengan lebih berkesan.
"Kami akan aturkan strategi yang lebih padat dan strategik untuk rakyat sedar betapa pentingnya penyertaan masyarakat untuk turut sama membanteras jenayah," katanya.
Sementara itu Naib Presiden MCPF Tan Sri Lee Lam Thye berkata satu usul dibentang MCPF untuk menyampaikan penghargaan kepada semua anggota keselamatan yang terkorban dalam insiden pencerobohan di Lahad Datu.
"Kami telah mengutip RM60,000 hari ini untuk tabung Wira Lahad Datu," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment