Ketua Polis Yogyakarta Brig Jen Sabar Raharjo berkata serangan pada kira-kira 2 pagi itu melibatkan 17 orang yang bersenjata api, yang masuk ke penjara dengan cara melompat pagar.
Para penyerang kemudian memaksa petugas penjara menunjukkan sel yang menempatkan empat suspek kes pembelasahan terhadap seorang anggota komando tentera darat Indonesia sehingga mati, di Hugo's Cafe, Sleman.
"Para penyerang mengacukan senjata api dan memaksa petugas penjara menunjukkan kunci sel. Empat orang mati dengan luka tembakan," kata Sabar Raharjo di Yogyakarta, Sabtu.
Kumpulan penyerang itu katanya telah membawa semua CCTV yang ada di penjara itu sementara seorang petugas penjara dipukul ketika mereka memintanya menunjukkan kunci sel berkenaan.
Berikutan serangan itu, penjara tersebut kini dikawal ketat oleh sejumlah anggota polis dan tentera.
Sementara itu Menteri Penyelaras Politik, Undang-undang dan Keselamatan Indonesia Djoko Suyanto telah meminta Panglima TNI dan Ketua Polis Negera segera menyiasat kejadian serangan berkenaan.
Agensi berita Antara memetik beliau sebagai berkata meminta pihak berkuasa segera menangkap dan membawa ke pengadilan siapa saja yang terlibat dalam kejadian itu.
Setakat ini pihak polis telah menyoal siasat sejumlah saksi berhubung kejadian berkenaan namun ia belum dapat mengenal pasti kumpulan yang bertanggungjawab.
Pihak polis enggan membuat sebarang andaian sebelum ada bukti jelas mengenai kumpulan yang bertanggungjawab. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment