Saturday, 23 March 2013

Hasrat Kit Siang bertanding guna lambang Pas dipersoal


KERATAN paparan muka akaun twitter milik Lim Kit Siang yang mengesahkan kenyataannya bercadang bertanding atas lambang Pas jika parti DAP digantung pendaftarannya.
KUALA LUMPUR 23 Mac - Langkah Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang mahu bertanding menggunakan lambang Pas sekiranya Pendaftar Pertubuhan (ROS) menggantung pendaftaran partinya dipersoal memandangkan agenda perjuangan antara kedua-dua parti itu berbeza sama sekali.
Penganalisis politik, Prof. Madya Zainal Abidin Borhan berkata, Kit Siang dan pimpinan DAP tidak boleh sewenang-wenangnya menggunakan platform parti lain terutamanya Pas sedangkan mereka boleh menggunakan lambang Parti Keadilan Rakyat (PKR).
"Jika benar itu berlaku, Pas selepas ini akan dianggotai dan dipimpin oleh orang-orang kafir.
"Menggunakan logo Pas berbanding PKR dibimbangi mempunyai niat jahat untuk memecah-belahkan umat Melayu dan Islam sekiranya parti yang dipinjam untuk ditandinginya itu menang,’’ katanya ketika dihubungi Utusan Online petang ini.
Zainal Abidin diminta mengulas kenyataan Kit Siang di dalam akaun twitternya hari ini berhubung cadangan beliau untuk bertanding menggunakan lambang Pas sekiranya ROS menggantung pendaftaran DAP.
Berikut kenyataan Kit Siang di dalam akaun Twitternya:
"... DAP mungkin berdiri sebagai Bebas atau meminjam lambang Pas/PKR. Jika BN salah guna kuasa, lebih baik saya guna simbol Pas pada PRU-13."
Sebelum ini, pelbagai pihak termasuk para ahli dan bekas pemimpin DAP telah mendesak ROS mengambil tindakan membatalkan pendaftaran DAP berikutan kedegilan parti tersebut mengadakan pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) parti itu selepas berlaku “kesilapan" ketika pemilihannya baru-baru ini.
Menurut Zainal Abidin, sekiranya hal itu berlaku, DAP secara tidak langsung dia telah menunjukkan belang untuk mempergunakan Pas untuk menjadi alat perjuangan politik mereka dan wujud persengketaan antara Pas dan DAP jika keputusan PRU-13 memihak kepada parti kedua terbesar orang Melayu itu.

No comments:

Post a Comment