Monday, 25 March 2013

Pemain negara catat sejarah


DANNY berharap untuk mengubah reputasi pemain negara.


LAKARAN sejarah bagi edisi 2013 Kejohanan Golf Terbuka Malaysia Maybank (MMO) tercipta apabila buat pertama kalinya tiga pemain negara, Gavin Kyle Green, Danny Chia serta S. Murthy berjaya melangkah ke pusingan akhir.
Pada pusingan ketiga semalam, tempo pemain No. 1 negara, Danny semakin menyakinkan apabila mencatat 38 pukulan sebelum permainan ditangguhkan kerana hujan lebat.
"Permulaan yang agak sukar, tetapi saya tetap gembira dengan aksi pada sembilan lubang pertama," katanya yang bermula di lubang ke-10 pada saingan yang berlangsung di Kuala Lumpur Golf and Country Club (KLGCC).
Mencatat double bogey di lubang ke-17, Danny yakin, catatannya akan bertambah baik meskipun rentak permainannya agak terganggu dengan keadaan cuaca yang tidak menentu terutama pada sebelah petang.
"Keadaan cuaca seperti ini memang biasa di Malaysia, dan saya tidak terkejut dengan keadaan ini. Saya yakin semua pemain bersedia menghadapi keadaan ini," katanya.
Sementara itu, kejayaan dua rakan senegara yang berjaya melepasi cut, nyata membanggakan pemain dari Kuala Lumpur itu.
"Kritikan pedas yang sering kami hadapi, membuatkan kami semakin matang dan terus berusaha keras. Rasanya, sudah tiba masanya kami mengubah persepsi peminat ke atas pemain tempatan.
"Saya yakin, pemain tempatan amat bagus dan mungkin nasib tidak menyebelahi mereka. Selain daripada strategi, skil dan pengalaman, nasib juga adalah sebahagian daripada permainan golf.
"Mungkin ini (MMO 2013 ) adalah platform kebangkitan pemain negara, dan harap mereka dapat menamatkan kejohanan ini dengan keputusan yang membanggakan," katanya.
Dalam pada itu, momentum yang dilakar Gavin, yang merupakan pemain amatur negara, cukup membanggakan apabila menamatkan pusingan ketiga dengan 34 pukulan.
Biarpun berdepan dengan permainan yang ditangguhkan, impak yang ditinggalkan memberi gambaran bahawa dia mampu menamatkan saingan dalam kelompok teratas.

No comments:

Post a Comment