Sunday, 24 March 2013

Insiden Lahad Datu beri kesan besar kepada negara


24/03/2013 1:33pm

KOTA KINABALU - Insiden pencerobohan oleh kumpulan pengganas di Lahad Datu dan Semporna memberi kesan yang sangat besar kepada politik, sosial dan ekonomi negara khususnya negeri Sabah, kata Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Yahya Hussin.
Beliau berkata, tragedi itu sudah mengorbankan nyawa sepuluh orang anggota pasukan keselamatan negara yang bukan sahaja menyebabkan anak kehilangan ayah, isteri kehilangan suami, ibu dan bapa kehilangan anak, malah akan kekal menjadi titik hitam dalam lipatan sejarah negara.
"Sesungguhnya kekejaman pengganas terhadap anggota keselamatan kita tidak mungkin akan kita lupakan sampai bila-bila.
"Hasil pengorbanan pahlawan negara ini seperti mana pada era darurat dan insurgensi telah memungkinkan kemajuan dan kemakmuran kita nikmati hingga hari ini. Pengorbanan mereka bukan sia-sia, pengorbanan mereka bukan kecil, pengorbanan mereka bukan untuk diperlekehkan,” kata beliau.
Yahya yang juga Menteri Pertanian dan Industri Makanan negeri berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian program taklimat keselamatan, Sabah Diceroboh: Kedaulatan Negara Dicabar, di sini hari ini. - Bernama

No comments:

Post a Comment