Sunday, 24 March 2013

Taraf hidup penduduk kawasan diceroboh pengganas akan dibaiki


IPOH 24 Mac - Kerajaan bercadang untuk memperbaiki taraf hidup penduduk di kawasan Lahad Datu, Sabah dan sekitarnya yang terlibat dengan insiden pencerobohan pengganas Sulu, kata Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.
Beliau berkata, penilaian secara menyeluruh sedang dilakukan dengan mengambil kira aspek penempatan penduduk dan infrastruktur.
"Kita (kerajaan) akan baiki taraf hidup penduduk di Lahad Datu terutama di kawasan yang terlibat dengan insiden itu kerana apabila berlakunya insiden tersebut kita lihat bahawa taraf hidup mereka tidak sepatutnya begitu.
"Sekiranya perlu buat pemindahan (penduduk), kita akan buat pemindahan (penduduk) ke tempat-tempat yang sesuai untuk kehidupan mereka selain membaik pulih jalan raya dan menyediakan keperluan lain yang diperlukan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perjumpaan khas Parti Komponen dan Rakan Barisan Nasional (BN) di sini hari ini yang dihadiri lebih 3,000 anggota parti.
Sehubungan itu, beliau berkata, penilaian secara terperinci perlu dilakukan berhubung perkara itu sebelum sejumlah peruntukan diluluskan bagi menyediakan keperluan tersebut.
Usaha yang kerajaan lakukan ini merupakan konsep keadilan sosial bagi membela nasib semua rakyat tanpa mengira kaum dan tiada mana-mana pihak yang dipinggirkan, katanya.
Sementara itu, ketika berucap Ahmad Husni yang juga anggota Parlimen Tambun berkata, jentera pilihan raya di bawah Parlimennya bersiap sedia untuk memberi kemenangan besar kepada BN pada pilihan raya umum ke-13.
"Kita perlu bergerak sekarang supaya pada hari pilihan raya nanti kita semua sudah sedia dengan kekuatan kita untuk ambil peluang meraih kemenangan untuk BN," katanya.
Katanya, pemimpin dan anggota BN perlu bekerja lebih kuat untuk menghadapi masa depan negara. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment