Sunday 24 March 2013

Ketua keluarga dibawa tinjau Kampung Tanduo Selasa ini


LAHAD DATU 24 Mac - Setelah lebih sebulan terpaksa meninggalkan kampung dan rumah masing-masing, kira-kira 100 penduduk Kampung Tanduo di sini mendapat khabar gembira daripada pasukan keselamatan yang akan membawa setiap ketua keluarga untuk meninjau kampung berkenaan selewat-lewatnya pagi Selasa ini.
Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar ketika mengumumkan khabar gembira itu hari ini berkata, kampung berkenaan telah diisytiharkan selamat daripada kumpulan pengganas Kiram selepas operasi penggeledahan dan pembersihan dilakukan oleh pasukan keselamatan.

"Kita sedang mengatur untuk membawa ketua-ketua keluarga ini bersama ketua kampung sekali memasuki rumah-rumah mereka bagi melihat kesan kerosakan.
Insya Allah...selewat-lewatnya pagi Selasa ini," katanya dalam sidang akhbar di sini.
Sejak pencerobohan kumpulan pengganas itu pada 12 Februari lalu, kesemua penduduk kampung berkenaan ditempatkan di dua pusat pemindahan sementara iaitu di Dewan Embara Budi dan Dewan Cenderawasih.
Tambah Khalid, rombongan itu nanti akan diiringi oleh pegawai-pegawai Pejabat Daerah Lahad Datu dan pasukan keselamatan.
Beliau bagaimanapun tidak menyatakan tarikh kesemua penduduk kampung berkenaan akan dibenarkan pulang terus ke rumah masing-masing.
Dalam pada itu, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd. Zin berkata, pasukan penilaian kerosakan yang terdiri daripada Majlis Keselamatan Negara, Pejabat Daerah Lahad Datu, Polis Diraja Malaysia dan agensi-agensi lain telah memasuki kampung itu beberapa hari lalu.
Jelasnya, walaupun telah dibersihkan tetapi pihaknya tetap menempatkan sejumlah anggota pasukan keselamatan di kampung itu untuk tujuan keselamatan.
"Sekalipun Ops Daulat dilihat agak perlahan pergerakan ketika ini tetapi kita tetap meneruskan fokus utama dalam pembersihan di kawasan Tanjung Batu," katanya.

No comments:

Post a Comment