Sunday, 24 March 2013

Anggota JPAM cerita risiko, detik mendebarkan berdepan pengganas Kiram


LAHAD DATU 24 Mac - Menjadi antara kumpulan pertama tiba semasa pencerobohan kumpulan pengganas Kiram di Felda Sahabat menjadikan peranan Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) amat signifikan dalam insiden itu.
Jadi tidak hairanlah JPAM yang berada di Felda Sahabat sejak 17 Februari telah melalui pelbagai cabaran dan situasi yang mendebarkan.
Pegawai Pertahanan Awam Lahad Datu, Hussain Mohd. Noor berkata, peristiwa memasuki kawasan jalan Kampung Tanduo bagi mengambil jenazah seorang anggota polis yang ditembak mati menjadi satu detik yang tidak dapat dilupakan sehingga akhir hayat.
Katanya, meskipun sebelum ini sering menyelamat dan membawa mangsa kemalangan tetapi detik melihat di depan mata perwira negara terkorban sememangnya tidak dapat dilupakan.
"Pada masa itu, kami semua sedang bersedia untuk ke masjid bagi menunaikan solat Jumaat apabila menerima panggilan mengenai kejadian dan kami bergegas ke sana.
"Apabila tiba di jalan masuk ke Kampung Tanduo dan menunggu tidak berapa lama kami lihat jenazah dibawa keluar dan pada masa itu kami berasa sangat sedih sehingga berlinangan air mata, terlupa keadaan pertempuran pada masa itu," katanya di sini hari ini.
Beliau memberitahu, dalam keadaan yang mencemaskan itu, dia dan dua lagi ahli JPAM terus memainkan peranan dengan mengesan nadi mangsa sebelum mengangkat mangsa untuk dibawa ke hospital.
Dalam pada itu, Hussain berkata, antara perkara lain yang tidak dapat dilupakan ialah ketika terserempak dengan pengganas semasa menghantar bekalan makanan kepada penduduk kampung di pusat pemindahan Embara Budi.
Katanya, semasa kejadian dia dan seorang anggota JPAM hanya mampu meniarap bagi mengelak daripada dikesan.
"Sebaik sahaja tiba di tempat kejadian saya ternampak beberapa lelaki yang memakai pakaian berwarna hijau dan mengikat kain hitam di kepala memegang senjata.
"Beberapa anggota polis yang berada di situ kemudiannya mengarahkan supaya kami segera meniarap dan saya bersyukur kerana tiada tembakan dilepaskan oleh mana-mana pihak," katanya.

No comments:

Post a Comment