Tuesday 26 March 2013

Kim Swee puji aksi Harimau Muda

IZZAQ menjaringkan gol penyamaan Harimau Muda pada aksi menentang skuad B-19 Slovakia di Vion, Sabtu lalu.


KEMATANGAN skuad Harimau Muda ketika mengikat skuad bawah 19 tahun (B-19) Slovakia dengan keputusan seri 1-1 di Vion, Sabtu lalu mengundang pujian jurulatih, Ong Kim Swee.
Biarpun ‘berguru’ di pentas Eropah tanpa kehadiran beberapa pemain utama seperti Nazirul Naim Che Hashim dan Wan Zack Haikal Wan Nor yang berlepas ke Jepun menyertai FC Ryukyu malam tadi, Kim Swee menganggap keputusan seri itu cukup berbaloi.
“Keputusan seri membuktikan pemain Harimau Muda mampu bersaing walaupun tanpa beberapa tonggak utama.
“Namun, corak permainan konsisten perlu dikekalkan selepas ini kerana ia antara elemen yang penting bagi Harimau Muda menimba pengalaman di Eropah.
“Selain permainan konsisten, pemain juga dituntut mengekalkan persefahaman, sikap positif serta semangat berpasukan,” kata Kim Swee menerusi Twitter peribadinya semalam.
Dalam perlawanan itu, skuad muda negara terlebih dahulu ketinggalan sebelum bangkit menerusi jaringan penyamaan penyerang tinggi lampai, Izzaq Faris Ramlan.
Hari ini, skuad Harimau Muda bakal menguji skuad B-21 Georgia di Vienna, Austria dan ia merupakan sebahagian daripada perancangan awal Kim Swee bagi mempertahankan pingat emas pada temasya Sukan SEA di Myanmar penghujung tahun ini.
Dalam pada itu, Kim Swee turut memberikan kata-kata semangat terhadap Nazirul Naim dan Wan Zack.
“Selamat berangkat ke Okinawa, Jepun buat Nazirul Naim dan Wan Zack.
“Semoga dimensi baharu ini akan memberikan kekuatan dan kesungguhan (kepada kedua-dua pemain itu) untuk lebih berjaya pada masa depan,” kata Kim Swee.

No comments:

Post a Comment