Saturday, 23 March 2013

Thailand hampir musnahkan perjuangan skuad negara



BOON Heong (kiri) dan Kien Keat menyelamatkan skuad negara daripada dimalukan oleh Thailand.


KEJUTAN berlaku pada aksi kedua peringkat awal Kejohanan Badminton Piala Axiata 2013 apabila Malaysia diikat seri 2-2 oleh Thailand pada aksi yang berlangsung di DBL Arena di Surabaya, Indonesia malam tadi.
Kesudahan aksi kedua itu sekali gus menyaksikan Malaysia sekadar meraih satu mata dan berada di belakang Indonesia yang kini selesa mendahului saingan peringkat kumpulan setelah mencatatkan dua kemenangan berturut-turut sejak aksi pembukaan pada 21 Mac lepas.
Malaysia kini di tangga kedua dengan kelebihan jumlah set perlawanan, namun masih berkongsi tiga mata dengan Thailand (tangga ketiga) yang turut meraih kemenangan pertama ketika menewaskan Pilihan Bintang Asia 3-1 sebelum seri dengan skuad negara.
Terdahulu, Malaysia meraih dua mata selepas mengalahkan Filipina 4-0 pada aksi pertama, manakala Indonesia menewaskan Vietnam dan Singapura 4-0 dalam dua aksi berturut-turut untuk meraih dua mata dalam setiap pertemuan.
Pada aksi menentang Thailand semalam, pemain perseorangan wanita negara, Tee Jing Yi yang berdepan dengan Ratchanok Intanon pada perlawanan pertama tewas dalam satu pertarungan sengit yang berkesudahan 17-21, 20-21.
Biarpun berpeluang untuk melanjutkan perlawanan sehingga ke set penentuan, namun tuah lebih memihak kepada Intanon yang berjaya menghampakan Jing Yi dalam tempoh 40 minit.
Skrip yang sama diulangi pemain kedua negara, Liew Daren apabila ditundukkan perseorangan lelaki Thailand, Tanongsak Saensomboonsuk straight set 15-21, 17-21.
Begitupun, Malaysia bangkit merapatkan jurang apabila beregu campuran negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying meraih kemenangan pertama pasukan setelah menewaskan pencabarnya, Sudket Prapakamol-Saralee Thoungthongkam 20-22, 21-14, 21-14.
Peng Soon-Liu Ying yang tersentak keputusan set pertama tidak mengambil masa yang lama untuk mengatur kembali strategi bagi mendominasi kedua-dua set akhir.
Kemudian, aksi keempat disempurnakan oleh beregu lelaki utama, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong yang tampil dengan lebih bersemangat untuk mencatatkan kemenangan bergaya 21-13, 21-14 dalam tempoh 25 minit sahaja.
Skuad negara akan menentang juara bertahan, Indonesia hari ini sebelum berdepan dengan Pilihan Bintang Eropah esok.

No comments:

Post a Comment