Sunday, 24 March 2013

Pemimpin agama Myanmar seru hentikan sengketa


24/03/2013 1:19pm

YANGON - Para pemimpin agama Islam dan Buddha di sini menyeru kepada rakyat agar bertenang dalam menangani kes keganasan yang berlaku di tengah-tengah ibu negara Myanmar itu Rabu lalu. Mereka juga mendesak agar kerajaan meningkatkan aspek keselamatan bagi kedua-dua komuniti yang berlainan kepercayaan.
Kesan keganasan agama yang terjadi di bandar Meiktila telah sekurang-kurangnya mengorbankan 32 nyawa manakala 9,000 orang lagi hidup dalam keresahan hingga meninggalkan kediaman masing-masing. Kejadian tersebut juga mengakibatkan kemusnahan teruk di dalam bandar dan meletakkan rakyat dalam darurat tentera.
Sehubungan itu, Organisasi Persahabatan Antara Agama telah mendesak pihak kerajaan agar membentangkan perancangan keselamatan efektif demi menjamin keselamatan kedua-dua komuniti tersebut.
Usul yang ditandatangani para pemimpin Islam dan Buddha itu antara lain menyeru agar penganut kedua-dua agama mentaati undang-undang dan mengekalkan keharmonian rakyat dengan kasih sayang dan kebaikan.
Pertembungan berdarah yang berlaku antara penganut kedua-dua agama tersebut dilihat sebagai cabaran besar kepada usaha reformasi negara selepas berdekad-dekad Myanmar di bawah pemerintahan rejim kuku besi tentera. - AFP

No comments:

Post a Comment