Sunday, 24 March 2013

Rajagobal tak hirau kritikan

MAHALLI (kiri) banyak melakukan larian over lapping bagi membantu jentera serangan skuad negara.


PELBAGAI kritikan negatif ekoran prestasi hambar Harimau Malaya di pentas antarabangsa sejak kebelakangan ini, langsung tidak membunuh semangat jurulatih, Datuk K. Rajagobal.
'Alah bisa tegal biasa', Rajagobal, 56, sebaliknya menjadikan kritikan sedemikian sebagai pembakar semangat selagi diberikan kepercayaan mengendalikan skuad kebangsaan.
Kelmarin, anak-anak buah beliau berjaya menamatkan kemarau kemenangan dalam tiga perlawanan di pentas antarabangsa apabila mengatasi Yemen 2-1 dalam aksi Kumpulan D kelayakan Piala Asia 2015 di Stadium Shah Alam, sekali gus menghidupkan sisa-sisa peluang mengintai slot ke pusingan akhir kejohanan tersebut di Australia nanti.
Sebaik dikecewakan Thailand pada separuh akhir Piala Suzuki AFF tahun lalu, Harimau Malaya gagal mencetak sebarang kemenangan apabila tumpas 0-3 dan 1-4 kepada Iraq dan Arab Saudi dalam aksi persahabatan sebelum ini, termasuk tumpas 0-2 kepada Qatar dalam aksi pembuka tirai kumpulan di Doha, bulan lalu.
"Saya bukan pengecut, dan tidak akan lari jika dikritik. Kritikan demi kritikan menjadikan saya lebih tabah sebenarnya.
"Saya percaya, jika kita ikhlas dalam tugas yang diamanahkan, Tuhan sentiasa bersama kita.
"Sebagai jurulatih, saya perlu maju ke depan dan mendapat sokongan kesemua pihak," katanya selepas tamat perlawanan kelmarin.
Mengakui lega dengan kemenangan itu, Rajagobal begitupun menafikan kemenangan tersebut semata-mata kerana faktor nasib.
"Yemen sememangnya pasukan yang kuat dan cukup berbahaya ketika melancarkan serangan balas.
"Namun, jika dilihat daripada segi peluang, kita mampu melakar kemenangan yang lebih besar," katanya.
Pada masa sama, Rajagobal juga mempertahankan kredibiliti Norshahrul Idlan Talaha yang mensia-siakan banyak peluang keemasan mencetak gol kelmarin.
"Prestasi keseluruhan Norshahrul masih bagus, begitu juga persembahan beberapa pemain lain termasuk Azamuddin Akil, Asraruddin Putra Omar, K. Gurusamy, Wan Zack Haikal Wan Nor dan tidak lupa juga peranan efektif kapten, Safiq Rahim.
"Bukan senang hendak kembali bangkit selepas ketinggalan, jadi kredit wajar diberikan kepada semua pemain saya.
"Apa yang penting, kita menang, sejujurnya saya cukup bangga dengan kemenangan ini," katanya.
Dalam pada itu, ketika mengulas mengenai kerapuhan benteng pertahanan negara yang dilihat sering 'terlepas pandang' dalam merantai pergerakan penyerang Yemen, jelas Rajagobal: "Ia sesuatu yang normal ketika berdepan pasukan yang kuat seperti Yemen.
"Sebab itu kita memerlukan lebih banyak perlawanan seperti ini selepas ini.
"Selain itu, pemain juga diingatkan supaya mengekalkan prestasi konsisten dalam perlawanan akan datang dan segera melupakan kemenangan ini," jelasnya.

No comments:

Post a Comment