Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan wujudnya sindiket tetapi jumlahnya amat sedikit berbanding tanah diusahakan rakyat yang diambil untuk diserahkan kepada syarikat-syarikat untuk dibangunkan.
Beliau berkata, rakyat negeri ini terutama di kawasan hulu memahami isu tersebut dan tidak akan termakan dengan alasan yang dicipta oleh kerajaan Pas Kelantan.
"Saya kurang pasti apa keadaan sebenar tetapi kalau benar sindiket, apakah ribuan penduduk di Gua Musang, Kuala Krai dan Jeli ini terlibat dengan sindiket, kita tidak nafikan wujud sindiket tetapi jumlah itu amat sedikit.
"Orang Asli, saya rasa tidak ada sindiket, saya dimaklumkan bahawa 23 kawasan melibatkan lebih 1,000 keluarga Orang Asli yang terjejas pendapatan mereka, saya percaya Orang Asli tidak dipengaruhi oleh sindiket kerana mereka sudah berada di situ beratus tahun dahulu.
"Jadi jelas kepada kita ini hanyalah alasan semata-mata, kalau begitu adakah ini bermakna kalau orang yang memohon tanah itu tidak melalui sindiket kerajaan negeri sanggup meluluskannya? Sesiapa saja dia Gua Musang dia buat secara betul, isi borang, kalau kata sindiket bolehlah kita kata satu dua tetapi yang lain-lain kita hendak kata macam mana peneroka yang tulen sehingga tiga generasi pun ada," katanya.
Tambahnya, dari segi moral, tidak wajar sama sekali tanah yang telah diusahakan rakyat selama 20 sehingga 30 tahun diberikan kepada syarikat swasta atau Ladang Rakyat biarpun ada di antara mereka tidak memiliki geran.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Penutup Karnival Perubatan 1Malaysia negeri Kelantan di Hospital Tanah Merah di sini hari ini.
No comments:
Post a Comment