Friday 15 March 2013

Arsenal tak bernasib baik




PEMAIN-PEMAIN Arsenal jelas kecewa selepas gagal melayakkan diri ke suku akhir Liga Juara-Juara meskipun berjaya menewaskan Bayern 2-0 awal pagi semalam.


LONDON - Pengurus Arsenal, Arsene Wenger berasa bangga dengan aksi anak-anak buahnya meskipun skuad The Gunners tersingkir daripada saingan Liga Juara-Juara awal pagi semalam.
Impian Arsenal untuk mencipta keajaiban mara ke suku akhir tidak kesampaian meski- pun menang 2-0 ke atas Bayern Munich pada aksi kedua kalah mati di Allianz Arena itu.
Arsenal tersingkir menerusi peraturan jaringan di tempat lawan selepas kedudukan agregat terikat 3-3.
Kekalahan Arsenal itu menamatkan penguasaan kelab England untuk layak ke kelompok lapan pasukan terbaik pada pertandingan paling berprestij di Eropah itu buat pertama kalinya dalam tempoh 17 tahun.
"Kami hampir berjaya mencipta keajaiban dan saya tetap berbangga dengan persembahan pasukan ini walaupun kegagalan ini amat mengecewakan bagi semua penyokong Arsenal.
"Kami masih dibayangi dengan kekesalan pada pertemuan pertama lalu.
"Kami bertemu sebanyak dua kali dan kami gagal bermain dengan baik pada pertemuan pertama," kata pengendali kelahiran Perancis itu.
Untuk rekod, Bayern menang 3-1 pada aksi pertama di Stadium Emirates tiga minggu lepas.
Pada perlawanan semalam, Arsenal menampilkan aksi yang menarik, sekali gus memperoleh dua gol menerusi Olivier Giroud seawal minit ketiga dan Laurent Koscielny (ke-85).
"Ia merupakan suatu kegagalan yang besar kepada bola sepak England kerana keadaan ini tidak pernah berlaku sejak beberapa tahun lalu. Ia suatu peringatan buat kami.
"Pasukan dalam liga Eropah yang lain sudah mula menyamai kami dan kami harus memandang serius perkara ini serta mula memikirkan tentang masa depan kami," kata Wenger.
Bagi beliau, kegagalan itu cukup mengecewakan kerana ia melebarkan rekod tanpa sebarang piala untuk tempoh lapan tahun.
Sementara itu, pengurus Bayern, Uli Hoeness memberikan amaran keras selepas tidak berpuas hati dengan persembahan pemain-pemain pada perlawanan itu.
Skuad The Bavarians yang sedang memimpin saingan Liga Jerman dan menjadi pilihan untuk memenangi trofi Piala Jerman, menampilkan aksi terburuk di hadapan penyokong sendiri musim ini. - Agensi

No comments:

Post a Comment