Monday 18 March 2013

Korea Utara ancam perang nuklear


Gambar yang dikeluarkan oleh KCNA melalui Perkhidmatan Berita Korea (KNS) pada 14 Mac lalu merakamkan latihan serangan meriam tentera Korea Utara di lokasi yang tidak dinyatakan dekat sebuah pulau yang menjadi pertikaian di sempadan Korea Utara dan Korea Selatan. - AFP
SEOUL 17 Mac - Korea Utara, semalam mengancam untuk menjadikan Perdana Menteri Korea Selatan sebagai sasaran serangan dan memberitahu penduduk negara ini yang tinggal di pulau terletak dalam lingkungan serangan artileri Pyongyang supaya berpindah.
Korea Utara turut memberi amaran kepada dunia bahawa 'perang nuklear mungkin akan meletus'.
Menurut Agensi Berita Pusat Korea (KCNA) satu krisis serius iaitu kemungkinan tercetusnya perang nuklear kini semakin memuncak di semenanjung Korea.
Satu sumber Seoul berkata, Pyongyang turut melancarkan ujian tembakan dua peluru berpandu jarak dekat ke Laut Jepun, kelmarin, sejurus selepas Amerika Syarikat (AS) mengumumkan rancangan negara itu untuk meningkatkan pertahanan peluru berpandu ke atas ancaman dari Asia.
Ujian itu melibatkan peluru berpandu model KN-02 yang berupaya mengenai sasaran sehingga jarak 120 kilometer, menurut sumber itu kepada agensi berita Yonhap.
AS, kelmarin mengumumkan akan menempatkan pemintas peluru berpandu di timur Eropah dan menambah 14 lagi pemintas darat daripada 26 sedia ada di Alaska.
Tindakan itu mungkin akan membuka kepada rundingan kawalan senjata baharu dengan Rusia yang sebelum ini menentang penempatan tersebut di Poland dan Romania.
Setiausaha Negara AS, John Kerry turut menghubungi rakan sejawatnya dari Korea Selatan untuk menegaskan komitmen mereka kepada negara sekutunya itu dan berjanji menghalang ancaman daripada Korea Utara. - AGENSI

No comments:

Post a Comment