Tuesday 19 March 2013

Menghayati peristiwa besar di Baitulmuqaddis



JANGAN lepaskan peluang menunaikan solat di Masjid al-Aqsa, Baitulmuqaddis.


PERNAHKAH anda mendengar kewujudan batu terapung di Baitulmuqaddis, Palestin? Jika anda membuat carian di internet, pastikan anda menemui gambar yang betul kerana terdapat banyak laporan palsu berkenaan batu tersebut.
Hari ini, kawasan yang menempatkan batu terapung itu digelar Qubbatul Sakhrah yang bermaksud kubah yang memiliki batu di bawahnya. Lokasinya kini terletak di belakang Masjid al-Aqsa dan ia terletak di dalam sebuah bangunan.
Menurut sejarah, batu terapung itu menjadi tempat Nabi Muhammad SAW berpijak sebelum diangkat ke langit pada peristiwa Israk dan Mikraj. Batu tersebut dikatakan mahu mengikuti Rasulullah naik ke atas tetapi akhirnya terapung di udara tanpa mencecah bumi.
Kini, batu tersebut ditambah dengan tiang sokongan bagi mengelakkan ketakutan pengunjung untuk masuk bahagian bawah batu tersebut. Namun, terdapat dakwaan mengatakan tiang-tiang sokongan itu ditambah pihak Israel kerana enggan pelawat kagum dengan kejadian luar biasa itu.
Sekiranya anda ingin melihat sendiri kebesaran Allah itu, peluang untuk anda berkunjung ke Baitulmuqaddis kini dibuka. Angkasawan pertama negara, Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor, mengajak 32 rakyat Malaysia untuk mengikutinya berkunjung ke Baitulmuqaddis pada penghujung bulan April 2013.

BAITULMUQADDIS menyimpan pelbagai khazanah sejarah Islam yang harus diketahui umat Islam.


Program kedua bersama angkasawan itu bertujuan mendidik para peserta memahami dan mendalami tamadun Islam yang tersimpan di Baitulmuqaddis.
“Mengunjungi Baitulmuqaddis merupakan impian saya sejak kecil, sebelum wujudnya cita-cita untuk ke angkasa lepas lagi. Peluang sebegini sukar didapati, jadi mereka yang ingin ke sana di bawah program ini perlulah mendaftar dengan segera,” ujar Sheikh Muszaphar pada majlis pelancaran Jejak Sejarah Islam di Baitulmuqaddis di Restoran al-Rawsha, Kampung Pandan, Kuala Lumpur.
Makam Nabi Musa
Selama lapan hari di Baitulmuqaddis, para peserta akan dibawa mengunjungi beberapa buah masjid seperti masjid al-Aqsa, Salman al-Farisi, al-Alami dan Rabiatul Adawiyah. Mereka yang menyertai program itu juga berpeluang ke muzium Islam, muzium seni lukis Islam dan Bukit Zaiton.
Makam beberapa nabi seperti Nabi Ibrahim dan Nabi Musa juga akan dikunjungi. Jika ada kelapangan, para peserta akan dibawa ke Ramallah dan Hebron.
Selain Baitulmuqaddis, lawatan tersebut turut meliputi Jericho yang membolehkan peserta melawat istana kerajaan Umaiyah, kolej pertanian Palestin, Menara Tel Elish, Spa Ein Gedi di Laut Mati dan Jambatan Allenby yang menyeberangi Jordan. Di Amman, Jordan pula, lawatan akan merangkumi Ashabul Khafi, stadium Roman, masjid Raja Abdullah dan makam Nabi Shuib.

IMPIAN Sheikh Muszaphar untuk menziarahi Baitulmuqaddis, Palestin bakal menjadi kenyataan pada penghujung April ini.


Pengarah Urusan Gotz Travel & Tours Sdn. Bhd. Syed Salim Syed Ahmad memberitahu, lawatan tersebut adalah pakej sederhana yang menyediakan peserta dengan hotel tiga bintang. “Biarpun begitu, hotel tersebut terletak betul-betul di depan Masjid al-Aqsa. Ia memudahkan para peserta beribadat di masjid tersebut tanpa sebarang masalah,” ujar Syed Salim.
Pakej lawatan kelolaan Gotz Travel & Tours bersama Sheikh Muszaphar itu mengenakan harga RM7,230 bagi dewasa dan RM6,730 untuk kanak-kanak. Harga tersebut merangkumi tiket penerbangan Jordan Airlines, penginapan, pemandu pelancong dan makanan.
Para peserta akan bertolak pada 29 April dan kembali ke tanah air pada 8 Mei 2013. Difahamkan, daripada 32 tempat yang ditawarkan, kini ia hanya mempunyai 15 kekosongan.
Mereka yang berminat boleh menghubungi wakil ejen beserta bayaran deposit sebanyak RM1,000.

No comments:

Post a Comment