Bukanlah sesuatu yang pelik apabila jatuh cinta kepada kawan sendiri. MURSHID EUNOS meneliti kisah dua pembaca Gen-Y.
Kebiasaannya kita akan menjadi rapat dengan seseorang yang dianggap
teman kerana berkongsi banyak minat yang sama. Akrab yang awalnya
sekadar teman biasa selalunya akan melekat hingga menjadi sahabat setia.Ke mana saja bersama dan jika ada sebarang perancangan, sudah tentu
kita tidak sekali terlupa untuk membawa sahabat bersama. Itulah yang
dikatakan sahabat.
Tapi ada bezanya antara bersahabat sama
jantina seperti kebanyakannya dengan yang berpasangan, lelaki dan
perempuan. Jika yang lelaki kebiasaannya berkawan rapat kerana bermain
futsal bersama, gemar lepak menonton bola sepak ataupun aktiviti lain.
Dan gadis pula kerana sama kolej atau sekolah dan kemudiannya kebetulan
minat pada sesuatu perkara yang sama.
Bagaimana pula sahabat antara lelaki dan perempuan? Memang tidak
dinafikan ramai. Si gadis suka merujuk kepada kawan lelakinya setiap
kali ada masalah dengan kekasih dan begitu juga sebaliknya.
Hubungan mereka lebih santai dan selamba kerana selalunya si
lelaki tidak mudah terasa hati dan gadis pula bijak mengambil hati.
Lantas hubungan itu lebih terancang dan sempurna.
Lecehnya
apabila salah satu daripada mereka mula menaruh hati. Kalau kepada orang
lain mudah sikit ceritanya, tapi sekiranya dengan kawan baik sendiri,
bermulalah konflik dan drama.
Mujur jika kebetulan pihak yang satu lagi membalas. Kebetulan kekosongan cinta di hati, lekas kawan baik mengisinya.
Banyak
kelebihannya memilih kawan sebagai kekasih mahupun teman hidup.
Rata-rata beranggapan melalui fasa kawan, kita akan mengenali lebih
mendalam pasangan. Maksudnya kita sudah mengenali hati budi
masing-masing ketika masih status sahabat.
Kalau dilihat dalam
drama televisyen sekalipun, ia seperti skrip yang gemar dimainkan dalam
cerita cinta. Tapi inilah realitinya bagi golongan muda masa kini.
Walaupun banyak orang yang beranggapan begitu, masih ada yang tak boleh
menerima kenyataan kawan selepas itu bercinta sebab merasakan geli dan
susah untuk membezakan situasi bila bercinta dan berkawan.
Maklumlah
bila sudah menjalin hubungan, banyak benda yang berubah. Kalau dulu
makan cili melekat di gigi tak kisah tapi sekarang adab perlu dijaga
dengan tertib apabila bersama. Mungkin tidak memberi masalah kepada
mereka yang memang sudah terjerat dengan situasi ini kerana lain orang,
lain pendapat dan langkahnya.
Janggal nak panggil
“Ia
bagus sebab saya turut mengalami situasi sama. Bila berkawan kita sudah
mengenali hati budi dan tahu baik buruk perangainya. Kita akan berasa
selesa melalui pergaulan ketika berjumpa atau keluar ‘date’.
“Melalui
pergaulan sebagai rakan ketika bersama kekasih, membantu saya untuk
senang bercerita mengenai masalah, sebab dulu bila ada perkara yang
boleh dikongsi, saya akan bercerita dengan kawan saya iaitu kekasih saya
sekarang.
“Macam saya sendiri sekarang sudah boleh terima si
dia walaupun sebelum bercinta, kami rapat sebagai teman. Dari situ
timbul keserasian bila masing-masing berkongsi pendapat atau perkara
disukai bersama.
“Secara automatik pasangan kita menjadi dirinya
sebenar bila keluar bersama. Jadi soal tak memahami langsung tiada dalam
istilah perhubungan kami. Menjadi diri sendiri adalah rahsia kami sebab
sudah boleh menerima kekurangan dan kelebihannya masing-masing.
“Satu
perkara lagi, bila kita sudah lama berkawan dan baru timbul perasaan
suka, ia adalah satu nikmat kerana timbul perasaan gembira, kita tidak
akan merasa kekok. Cabaran biasa dialami nak menyesuaikan diri bila
gelaran nama sudah bertukar.
“Kalau kawan main cakap aku kau,
bila sudah mempunyai hubungan istimewa nama mesti nak comel-comel sikit.
Itupun perlukan masa untuk membiasakan percakapan bila bersama si dia.
“Tapi
kadang-kadang tersasul juga bila ingin berjenaka atau bergurau.
Walaupun begitu saya tetap gembira berada di samping kekasih kerana dia
adalah sahabat saya sejak dulu,” katanya.
Nama: Nurul Afiqah Mat Zuki
Umur: 22 Tahun
Lokasi: Ampang
E-mail: fieqa92@gmail.com
Lebih kenali dia
“Saya
mengalami perkara sama yang mana kekasih saya adalah rakan baik semasa
mengikuti kelas tuisyen Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Kami bercinta
tapi tidak sampai menjejaskan pelajaran kerana masing-masing nak
bersaing memiliki markah terbaik.
“Memang tak dinafikan ia
seperti situasi dalam mimpi sebab kita sudah biasa kawan, lepas itu ada
hubungan istimewa. Memang kalau dikenang agak kelakar tapi itulah
kenyataan yang saya harus saya terima, mempunyai kawan sebagai berkasih.
“Walaupun
ada yang memandang dengan pandangan negatif tapi saya sendiri pun tak
kisah kerana perasaan ini tak boleh nak dipaksa. Setiap orang mempunyai
naluri untuk bercinta.
“Agak seronok sebab kita sudah bersama dan
selesa sama ada berkawan atau berkasih. Mengenali si dia, seorang yang
‘sempoi’ dan agak kasar perwatakan membuatkan saya tertarik menjalinkan
hubungan bersamanya. Tapi bila sudah rapat seperti sekarang, kami sudah
mula memahami di antara satu sama lain. Tidak ada masalah, asal dia jadi
diri sendiri sudah memadai untuk saya menerimanya.
“Kelebihan
kawan menjadi kekasih sedikit sebanyak membantu kita untuk menerima
perangai kekasih kita, kalau dulu dia suka makan sambil bercakap, bila
sudah bergelar kekasih secara automatik kita menerimanya dengan hati
terbuka sebab sudah terbiasa dengan perangainya.
“Saya rasa semua
orang yang mempunyai pengalaman sebegini akan berhadapan dengan masalah
sama seperti nak adaptasi situasi kawan kepada kekasih, lebih-lebih
lagi bila sudah mempunyai nama istimewa,” katanya.
Nama: Mohd Fadhil Saharuddin
Umur: 18 tahun
Lokasi: Banting
E-mail: fadhil-9523@yahoo.com
No comments:
Post a Comment