MUQADDIMAH
Kenapakah manusia diciptakan? Apakah tugas manusia di dalam kehidupan ini? Ini persoalan-persoalan yang wajib dikemukakan oleh setiap insan kepada dirinya dan difikirkan semasak-masaknya. Setiap orang yang jahil, biar besar manapun kejahilannya, ia boleh diampun, tetapi tidak bagi manusia yang jahil tentang rahsia kewujudannya, matlamat kehidupannya serta tugas manusia dan dirinya di atas permukaan bumi.
Satu keaiban besar bagi manusia yang dikurniakan akal dan kehendak untuk hidup dalam keadaan alpa, hanya makan dan mengecapi nikmat. Tidak memikirkan tempat kembali, tidak menyedari hakikat dirinya dan bentuk peranannya di dalam kehidupan ini.
Antara tugas manusia sebagaimana dijelaskan oleh Allah.
Maksud firman Allah: “Dan kami tidak mengutuskan seorang Rasul sebelummu wahai Muhammad melainkan kami wahyukan kepadanya, bahawa sesungguhnya tiada tuhan yang berhak disembah melainkan Aku, oleh itu beribadatlah kamu kepadaku.” – (al – Anbiya’: 25)
Maksud firman Allah: “Dan aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaku.” – (az – Zariyat: 56)
Solat adalah ibadat yang disyariatkan melalui nas yang qat’ie. Ibadat yang disyariatkan oleh Allah telah ditentukan rupa bentuk serta waktu-waktu, syarat-syarat, masa dan tempatnya. Semuanya secara prinsip adalah ta’abbud atau mematuhi perintah Allah dan kita tidak dituntut mencari-cari hikmat dan rahsianya sekalipun kita meyakini bahawa setiap perkara yang disyariatkan mempunyai hikmat-hikmat tertentu yang hanya diketahui oleh Allah. Kita hanya dijelaskan sebahagian darinya. Mengetahuinya adalah satu kelebihan kerana ia boleh meningkatkan lagi keyakinan kita dan boleh dijadikan satu hujah yang kukuh.
SAINS DAN ISLAM
Sains adalah satu cabang ilmu yang dipelopori oleh ummat Islam terutamanya ketika zaman kegemilangan kerajaan Islam Abbasiyyah yang berpusat di Kota Baghdad dengan lahirnya saintis-saintis Islam seperti Ibnu Hayyan, Al – Kindi, Az Zahrawi, Ibnu Sina dan lain-lain lagi. Ketika dunia barat masih dalam kegelapan ummat Islam telah menerokai bidang sains perubatan, sains kimia, sains kejuruteraan dan sains astronomi sehingga kota Baghdad muncul sebagai kota ilmu yang dikunjungi penuntut ilmu dari timur dan barat. Jatuhnya khilafah Islamiyyah satu persatu, penjajahan, perpecahan dan kelemahan ummat serta menipisnya pegangan agama menjadikan kita semakin hari semakin ketinggalan kepada dunia barat, termasuklah dalam bidang sains sehingga jadilah sains satu khazanah bernilai yang hilang dari tangan ummat Islam.
Kajian-kajian yang dikemukakan di sini bukanlah bermaksud, untuk sesuatu perkara itu dipercayai dan diyakini, ianya mestilah boleh dibuktikan dengan fakta sains. Al Quran yang ada di hadapan kita hakikatnya telah membentangkan fakta-fakta menakjubkan yang tidak boleh disangkal oleh sesiapa. Amat besar kesilapan mereka yang mengatakan, kita tidak boleh menerima Islam kerana ianya bertentangan dengan sains moden. Sains dan teknologi sebenarnya telah banyak memberi maklumat kepada kita tentang alam nyata, menyediakan kesenangan dan keselesaan yang tidak pernah ditemui sebelum ini, meningkatkan kecekapan dan menemukan ubat-ubat bagi berbagai jenis penyakit yang biasanya boleh membawa maut. Namun sains tidak pernah dan tidak akan pernah dapat mengajar kita tentang makna serta hakikat kehidupan dan kematian. Sains memberitahu kita ‘bagaimana’ tetapi tidak pernah dapat menjawab persoalan ‘kenapa’. Sains boleh menerangkan bagaimana proses dan peringkat kejadian manusia tetapi sains tidak dapat menjawab persoalan kenapa manusia dijadikan. Sains tidak dapat memberitahu kita apa yang betul dan apa yang salah, baik dan buruk serta dosa dan pahala. Kenapakah kita dijadikan dan kemanakah kita akan dikembalikan. Hanya agamalah yang dapat mengajar kita semua ini. Bermakna sains dan agama tidak boleh dipisahkan. Andai dipisahkan, manusia yang bertuhankan sains menolak agama akan sesat.
Sains dapat menerangkan kepada manusia bagaimana solat dapat menyihatkan badan tetapi sains tidak dapat menjawab kenapa manusia solat. Allah yang menjadikan manusia, Allah yang mewajibkan solat, maka hanya Allah yang dapat menjawab persoalan kenapa dia berbuat demikian.
WUDU’ DAN SAINS
Perbuatan berwudu’ memang mengandungi aspek pencegahan dari pelbagai penyakit. Mengikut Mukhtar Salam dalam buku beliau bertajuk: Prayers: A Sport For The Soul And Body, terbitan The Arab Modern Centre, Cairo, berwudu’ mencegah seseorang dari mendapat kanser. Hal ini disebabkan, mengikut kajian semasa, salah satu punca kanser ialah bahan kimia yang melekat pada kulit badan seseorang kesan dari pencemaran yang berlaku pada hari ini. Pembasuhan anggota badan melalui wudu’ membersihkan badan dari pencemaran ini.
Satu kajian yang dilakukan oleh para doktor dari Universiti Alexandria, berhubung dengan amalan memasukkan air ke dalam hidung ketika berwudu’. Jelas didapati amalan ini mencuci rongga hidung dari kuman dan kotoran yang melekat pada bulu hidung. Justeru, penyucian hidung ketika berwudu’ mampu mencegah seseorang dari penyakit yang berpunca dari kotoran dan debu seperti resdung. Hal ini dilaporkan oleh Lamy Taufik dalam the Preventive and Healing Wonders of Ablution di Islam Online . Net.
Air sebagai wadah bersuci adalah satu keajaiban. Manusia diciptakan dari setitis air mani menjadi segumpal darah, seketul daging kemudian dibaluti daging pada tulang-tulang dan dibentukkan rupa bentuk sebagai manusia dan ditiupkan roh. Maha suci Allah yang menjadikan kita dalam bentuk kejadian yang paling sempurna. 2/3 dari berat badan manusia adalah air. Sedia dimaklumi bahawa air yang baik dan hidup ialah air yang bergerak dan mengalir. Jika air itu kaku di suatu tempat, maka ia akan menjadi busuk dan kotor. Pergerakan dalam solat merupakan suatu riadhah penting yang telah di programkan oleh Allah untuk hambanya supaya cecair di dalam badan sentiasa bergerak dan mengalir yang amat penting dalam penjagaan kesihatan.
SUJUD DAN KAITAN DENGAN OTAK MANUSIA
Seorang pakar neurology dari U.S telah memeluk Islam disebabkan beberapa penemuan yang mengkagumkan dalam penyelidikannya mengenai otak manusia. Ketika melakukan kajian tentang saluran darah yang membekalkan darah kepada otak manusia, didapati beberapa saluran darah tidak dimasuki darah, sedangkan fungsi saluran darah adalah untuk dilalui darah bagi membolehkan makanan dan oksigen dibekalkan kepada bahagian otak tersebut agar ia boleh berfungsi dengan normal dan sempurna. Penelitian lanjutan yang dilakukan , didapati darah tidak akan memasuki saluran darah berkenaan melainkan ketika seseorang itu sujud dalam sembahyang. Kadar aliran darah yang diperlukan hanyalah beberapa sukatan sahaja mengikut kadar sembahyang fardhu yang telah ditentukan oleh Allah. Barang siapa yang tidak mendirikan sembahyang, bererti otaknya tidak menerima bekalan darah secukupnya untuk berfungsi secara normal. Lantas menjelaskan kepada kita bahawa fitrah kejadian manusia adalah untuk menganut Islam dan sujud menyembah Allah. Makhluk Allah yang bernama manusia, tetapi tidak bersembahyang apatah lagi tidak beragama Islam, walaupun akal mereka berfungsi secara normal tetapi sebenarnya otak mereka tidak mempunyai keupayaan untuk membezakan antara yang baik dan buruk. Kadang-kadang mereka kehilangan pertimbangan untuk membuat keputusan yang normal.
SOLAT TAHAJJUD DARI PERSPEKTIF SAINS KESIHATAN
Pernahkah kita terfikir satu keajaiban dalam hidup kita mampu bangun diwaktu dinihari setelah kita hilang kesedarannya pada malamnya. Bangun dalam keadaan jantung masih berdegup, pemikiran kembali normal, bercakap dan bernafas seperti biasa, padahal ketika sedang tidur, tiada siapa yang dapat menjamin semua itu akan kembali seperti biasa. Kita kerap kali letih diwaktu malam. Namun setelah mendapat tidur yang cukup, tenaga kembali terjana. Umumnya manusia mengatakan, tidur malam perlu antara enam hingga lapan jam sehari. Tetapi pandangan ini ditolak oleh para saintis barat seperti Dr Ray Meddis, Profesor di Department of Human Sciences, England University of Technology, yang mengatakan bahawa manusia sebenarnya perlu tidur malam selama tiga jam sahaja. Banyak tidur akan membuatkan manusia malas, mematikan hati dan membekukan darah. Seorang sasterawan barat, Long Fellow menulis; “Pencapaian kerjaya yang tinggi oleh orang-orang yang ternama tidak didapati serta-merta tetapi mereka bekerja keras sehingga larut malam pada waktu sahabat-sahabat mereka sedang nyenyak tidur.”
Rasuullah s.a.w seorang yang sangat sedikit tidurnya tetapi baginda sihat, cergas dan kuat. Sahabat-sahabat yang pernah berjalan bersama Rasulullah menceritakan, “Bila Rasulullah berjalan, seolah-olah bumi ini dilipat untuknya, kami bersungguh-sungguh mengikutinya, ternyata baginda masih dihadapan kami.”
Orang yang semasa dengan As Syahid Hassan Al Banna menceritakan tentang peribadinya. Dia tidur tidak melebihi empat jam sehari, namun beliau seorang yang sangat aktif dalam gerakan Islam dan dakwah.
Sekarang kita kembali kepada perbincangan solat tahajjud. Apakah kelebihan dan kebaikan yang kita perolehi dari mengerjakan solat tahajjud sedangkan ketika itulah manusia sedang tidur nyenyak. Tentunya kita meyakini bahawa suruhan Allah itu mendatangkan kebaikan. Solat tahajjud meneguhkan iman kita, jiwa dan mental untuk menghadapi kesukaran hidup keesokkannya. Dari segi sains perubatan, bangun ketika waktu dinihari membolehkan kita menyedut oksigen khusus yang wujud di atmosfera bumi antara lebih kurang jam tiga pagi hingga terbit matahari. Oksigen itu hilang dari atmosfera bumi setelah matahari terbit dan tidak datang lagi sehingga esok hari. Hanya manusia yang bangun diwaktu itu dapat merasai nikmat oksigen tersebut sedangkan yang bangun lewat akan terlepas dan rugi. Pergerakkan otot-otot tubuh serta menyedut oksigen segar sambil melancarkan aliran darah adalah satu amalan hebat ummat Islam ketika orang lain masih dibuai mimpi. Dari segi emosi jelas bangun awal dan tidak tidur semula adalah rahsia ketenangan fikiran dan perasaan serta petua pengurusan masa cemerlang. Bangunlah diwaktu dinihari, sujud dan sembahlah Allah. Ingatlah pesan Rasulullah: “Barang siapa yang bangun bersembahyang diwaktu dinihari, maka dia telah mendapat sesuatu yang lebih baik dari dunia dan seisinya.”
Agama lain seperti Budha, Kristian, Tao, Confucious dan Sikh juga mempunya amalan bangun di tengah malam untuk membaca kitab suci agama mereka.
SOLAT DAN KELENTURAN TULANG BELAKANG
Dalam satu muktamar “Mukjizat Perubatan dalam Al Quranul Karim” yang diadakan di Kaherah Mesir, 1405 H. Dihadiri oleh Rabitah Al-Alam Islami, Persatuan Perubatan Islam Amerika, Persatuan Perubatan Islam Kuwait dan Universiti Al Azhar sebagai tuan rumah. Dibentangkan satu kajian tentang solat tarawikh serta pengaruhnya terhadap kelenturan tulang belakang dan kemampuan kerja jantung. Penelitian ini dilakukan terhadap 60 orang lelaki dan perempuan berumur 60 tahun ke atas yang dibahagikan kepada dua kumpulan. Kumpulan pertama terdiri dari mereka yang terus menerus melakukan solat tarawikh sepanjang ramadhan tahun 1405H dan golongan kedua terdiri dari mereka yang tidak melakukannya. Selesai Ramadhan, dilakukan ujian terhadap mereka untuk menentukan kadar kelenturan tulang belakang dalam pelbagai situasi berbeza-beza dan dilakukan ujian terhadap kemampuan kerja jantung mereka menggunakan argometer. Hasilnya, ada perbezaan besar antara orang-orang yang terus menerus mengerjakan solat tarawikh berbanding dengan orang yang tidak mengerjakannya. Manfaat dapat dirasakan dari segi kelenturan tulang belakang, pernafasan, kelenturan sendi-sendi dan kemampuan kerja jantung.
SOLAT BERJAMAAH DARI SUDUT SAINS FIZIK
Seorang Profesor Sains Fizik dari A.S ada membuat kajian tentang kelebihan solat berjamaah yang disyariatkan dalam Islam. Dari sudut ilmu fizik, tubuh badan manusia mempunyai dua cas elektrik, positif dan negatif. Dalam aktiviti seharian samada bekerja, bergerak, berfikir, beriadhah, banyak tenaga akan digunakan. Proses pembakaran tenaga ini akan melibatkan pertukaran cas-cas positif dan negatif yang menjuruskan kepada ketidakseimbangan cas di dalam badan manusia. Natijahnya rasa letih dan lesu setelah menjalankan aktiviti seharian. Cas-cas ini perlu diseimbangkan semula supaya kesegaran tubuh boleh dikembalikan ke tahap normal.
Berkaitan dengan solat berjamaah, timbul persoalan dari sudut beliau sebagai seorang non muslim, mengapa Islam mensyariatkan solat berjamaah dan mengapa bilangan rakaat solat fardhu di dalam Islam tidak sama. Dimaklumi, semasa solat berjamaah kita dituntut melurus dan merapatkan saf, bersentuhan kaki dan bahu. Dari sudut sains, sentuhan tubuh yang berlaku antara ahli jamaah yang berada di kiri dan kanan akan menyeimbangkan kembali cas – cas di dalam tubuh apabila proses pertukaran cas ini berlaku dengan cas yang berlebihan di dalam badan akan ditarik keluar dan cas yang berkurangan akan ditarik ke dalam badan. Semakin lama sentuhan dan pergeseran tubuh berlaku, keseimbangan akan semakin stabil. Persoalannya, sebagai seorang pengkaji yang tidak beriman kepada Allah, kenapa pula solat fardhu mempunyai bilangan rakaat yang tidak sama.
Secara logik, setiap kali manusia bangun dari tidur di pagi hari, badan kita akan merasa segar dan sihat setelah berehat beberapa jam. Tubuh mengandungi cas-cas positif dan negatif yang hampir seimbang. Kita hanya memerlukan sedikit sahaja lagi pertukaran cas supaya keseimbangan penuh boleh berlaku. Sebab itulah solat Subuh didirikan dua rakaat.
Setelah seharian kita memeras tenaga dari pagi hingga tengah hari, berlaku banyak kehilangan cas-cas dari tubuh. Keletihan dan kelesuan adalah kesan langsung. Solat berjamaah yang disyariatkan oleh Islam berperanan untuk memulihkan cas-cas berkenaan. Solat Zuhur didirikan empat rakaat untuk member ruang yang lebih kepada proses pertukaran cas di dalam tubuh.
Situasi yang sama turut berlaku di waktu petang. Banyak tenaga dikeluarkan ketika menyambung kembali tugas. Hasilnya, sekali lagi kita kehilangan cas yang banyak. Sebagaimana solat Zuhur, empat rakaat solat Asar yang didirikan memberi ruang yang lebih lama untuk proses pertukaran cas.
Lazimnya, selepas waktu asar dan pulang dari kerja, manusia tidak lagi melakukan aktiviti yang banyak menggunakan tenaga. Masa yang diperuntukkan juga agak singkat. Maka, solat Maghrib dikerjakan sebanyak tiga rakaat adalah lebih sesuai dengan penggunaan tenaga yang kurang berbanding dua waktu sebelumnya.
Timbul persoalan di fikiran Profesor ini tentang solat Isyak yang mengandungi empat rakaat. Logiknya, di waktu malam tidak banyak aktiviti menggunakan tenaga yang dilakukan dan selang waktu juga tidak lama. Setelah penelitian lanjut, didapati terdapat keistimewaan mengapa disyariatkan empat rakaat solat Isyak. Islam amat menggalakkan ummatnya bangun beribadat di sepertiga malam. Waktu solat Isyak yang panjang sebanyak empat rakaat badan akan mengumpulkan bekalan cas dan tenaga yang cukup sebagai bekalan untuk bangun menyembah Allah di malam hari. Subhanallah.
PENUTUP
Solat satu ibadah khusus, penyembahan seorang hamba kepada Allah yang telah menciptakannya. Diperintahkan melaui nas yang qat’ie di dalam Al Quran. Sungguh ia satu anugerah agung dari Tuhan Rabbul Jalil yang perintahnya bersesuaian dengan fitrah kejadian dan naluri manusia. Tiada satu ruang untuk tidak mengerjakannya dengan alasan yang direka-reka kerana Allah maha mengetahui dengan apa yang diperintah dan apa yang dilarangnya.
No comments:
Post a Comment