Sunday 17 March 2013

Gergasi jumpa si kaya dalam suku akhir


NYON, Switzerland - Gergasi bola sepak Eropah, Barcelona akan menentang kelab kaya Perancis, Paris Saint-Germain (PSG) pada suku akhir Liga Juara-Juara Eropah dalam undian yang dilakukan di sini, semalam.
Bekas kapten England, David Beckham akhirnya mendapat peluang untuk beraksi di Nou Camp, iaitu tempat di mana dia telah membantu Manchester United menewaskan Bayern Munich 2-1 pada perlawanan akhir 1999.
Lionel Messi pula akan mengetuai juara empat kali, Barcelona mencari satu lagi kegemilangan Eropah selepas sentuhan magis bintang penyerang Argentina itu membantu pasukannya membelasah gergasi bola sepak Itali, AC Milan 4-0, Selasa lalu.
"Ini adalah undian paling sukar yang kami peroleh dan kami akan menghadapinya.
"Perlawanan tidak akan berlangsung dengan mudah tetapi dua pertemuan tersebut pasti bakal menghidangkan aksi menarik serta hebat untuk disaksikan," kata pengarah sukan PSG, Leonardo.
Sementara itu naib juara tahun lalu, Bayern Munich pula diundi menentang juara Itali, Juventus, manakala juara sembilan kali, Real Madrid akan berdepan kelab kaya Turki, Galatasaray.
"Galatasaray adalah pasukan yang hebat dan mempunyai penyokong yang luar biasa. Kami jangkakan perlawanan akan berlangsung sengit.
"Mereka juga mempunyai pemain hebat seperti (Wesley) Sneijder dan (Didier) Drogba, namun itu tidak akan menjejaskan misi utama kami untuk memburu gelaran Liga Juara-Juara kali ke-10," kata bekas penyerang Real Madrid, Emilio Butragueno.
Satu lagi wakil Sepanyol, Malaga pula akan menentang gergasi bola sepak Jerman, Borussia Dortmund dengan perlawanan pusingan pertama berlangsung di Sepanyol.
Buat kali pertama dalam tempoh 17 tahun, suku akhir Liga Juara-Juara Eropah akan berlangsung tanpa wakil England selepas juara bertahan, Chelsea tersingkir di peringkat kumpulan.
Namun begitu, ada tiga wakil England berada di suku akhir saingan kelas kedua Eropah, Liga Europa, di mana ketiga-tiga mereka, Chelsea, Tottenham dan Newcastle berjaya mengelak pertembungan sesama sendiri.
Chelsea akan berdepan kelab Rusia, Rubin Kazan, Tottenham pula bertemu wakil Switzerland, Basel, manakala Newcastle menentang bekas juara Eropah, Benfica dari Portugal.
Perlawanan akhir Liga Juara-Juara akan berlangsung di Wembley pada 25 Mei, sementara perhitungan untuk merebut Piala Europa akan diadakan di Amsterdam Arena pada 15 Mei. - AFP

No comments:

Post a Comment