Friday 22 March 2013

Penduduk Palestin terus bantah lawatan Obama


Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu (kanan) menyambut ketibaan Obama di Lapangan Terbang Antarabangsa Ben Gurion dekat Tel Aviv, kelmarin. - AFP
AZARIEH, Tebing Barat 21 Mac - Aktivis Palestin, semalam mendirikan sebuah kem bantahan di tapak yang dirancang oleh Israel untuk membina penempatan haram Yahudi, sebagai membantah kunjungan Presiden Barack Obama ke Israel.
Rancangan Israel untuk membangunkan kawasan penempatan haram Yahudi di luar Baitulmaqdis itu, yang diberi nama E1 telah mencetuskan bantahan hebat antarabangsa dengan pakar menyifatkan projek itu akan menutup harapan penubuhan negara Palestin yang berdaya maju.
Kira-kira 200 penduduk Palestin mendirikan kira-kira 15 buah khemah di E1 bagi menghantar mesej kepada Obama tentang bantahan mereka.
''Obama! Cukuplah dengan sikap berat sebelah anda dan sokongan anda kepada Israel,'' kata seorang daripada penganjur bantahan itu, Abdullah Abu Rahma.
Pemerhati berkata, rancangan Israel untuk membangunkan E1 dan menghubungkannya dengan penempatan Maaleh Adumim dan timur Baitulmaqdis akan menghalang penubuhan negara Palestin, sekali gus menjejaskan cadangan penyelesaian penubuhan dua negara.
Menurut pakar, rancangan membangunkan kawasan E1 akan mengasingkan sektor Arab di Baitulmaqdis dan memisahkan kawasan Tebing Barat kepada dua.
''Mesej kami kepada Obama, ini adalah tanah kami dan kami menentang rancangan penempatan haram dan pendudukan Israel yang disokong oleh Washington,'' kata Abdullah kepada AFP.
Sementara itu, perunding damai Palestin, Nabil Shaath dalam bantahannya yang diterbitkan akhbar Israel Haaretz mendesak Obama membuktikan komitmennya akan menyelesaikan isu penubuhan dua buah negara dengan melaksanakan janjinya itu.
''Kami boleh menyelamatkan nyawa sekiranya Obama menunjukkan kesungguhan untuk mewujudkan persekitaran yang betul untuk keputusan yang akan mempengaruhi penyelesaian kepada penubuhan dua buah negara.
''Sekarang, daripada hanya mahu meneruskan 'proses rundingan damai' yang tidak bermakna, kami rakyat Palestin berharap tindakan sebenar diambil,'' katanya. -

No comments:

Post a Comment