Friday, 22 March 2013

Yemen juga ketandusan penyerang berbisa


K. RajaGobal dan Tom Saintfiet pada sidang akhbar pra perlawanan Kelayakan Piala Asia di Shah Alam, semalam.
SHAH ALAM - Bukan Harimau Malaya sahaja yang mengalami ketandusan penyerang berkualiti malahan Yemen juga menghadapi masalah yang sama menjelang Kelayakan Piala Asia di Stadium Shah Alam, malam ini.
Yemen melalui lima perlawanan tanpa sebarang jaringan dan penyerangnya gagal menjaringkan gol dalam 11 aksi terakhir.
Fakta itu menceritakan bahawa Harimau Malaya perlu mengambil kelebihan ke atas masalah yang dihadapi oleh skuad bimbingan Tom Saintfiet.
"Kami juga menghadapi masalah yang sama seperti mana Malaysia iaitu ketiadaan penyerang yang mampu menjaringkan gol, perkara itu berlarutan sehingga 11 perlawanan.
"Saya mencari penyerang di setiap kelab dalam saingan liga Yemen tetapi ini sahaja pilihan yang ada.
"Namun, situasi itu tidak terlalu menggusarkan saya kerana mana-mana pemain boleh memikul tugasan berkenaan, tidak semestinya penyerang sahaja, " katanya.
Sentiasa mengambil tahu perkembangan Harimau Malaya memandangkan Rajagobal adalah salah seorang kenalan rapatnya, Saintfiet melihat pertemuan dengan Malaysia pasti sengit memandangkan kedua-dua pasukan terdesak mencari tiga mata selepas kalah dalam perlawanan sulung.
"Saya gembira datang ke sini kerana segala-galanya nampak baik tetapi apa yang lebih penting, kami mahu berasa gembira selepas perlawanan malam esok (hari ini).
"Kedua-dua pasukan belum meraih sebarang mata dan sasaran minimum kami sekurang-kurangnya mendapat satu mata.
"Namun ia tidak mudah kerana Malaysia sebuah pasukan yang kuat.
"Bagi saya, ini pertemuan dua pasukan yang hampir sama daripada segi kekuatan tetapi mempunyai gaya yang berbeza, " katanya.
Tambahnya, dia tidak mahu menamakan mana-mana pemain Malaysia yang dianggap mampu memberikan ancaman kepada pasukannya sebaliknya mahu memberikan fokus kepada pasukan sendiri.
"Saya telah melihat aksi 22 pemain ketika berdepan Arab Saudi dan saya tidak tahu bagaimana mereka bermain.
"Mereka mungkin akan bermotivasi jika saya menyatakan nama mereka, jadi lebih baik tidak dinyatakan. Saya rasa Malaysia akan menggunakan formasi 4-2-3-1 yang pasti menyukarkan kami, " katanya.

No comments:

Post a Comment