Wednesday 20 March 2013

Terap strategi khusus atasi taktik Yaman

Kelana Jaya: Di sebalik masalah kepincangan bahagian serangan yang menghantui skuad kebangsaan ketika ini, ketua jurulatih Datuk K Rajagobal tetap positif mereka mampu mengambil kesempatan beraksi di laman sendiri menentang Yaman pada aksi kelayakan Piala Asia 2015 di Stadium Shah Alam, Jumaat ini.
Baginya beliau sudah mengkaji corak permainan Yaman dan berharap semua pemain dapat mengikut segala strategi yang bakal diterapkan dalam perlawanan yang dianggap mesti menang untuk Harimau Malaya terus bersaing merebut tempat terbaik dalam saingan Kumpulan D.

“Kita perlu ada keyakinan ketika bermain dengan Yaman, perlu ambil peluang terbaik ini. Masih ada tanda-tanda positif dalam perlawanan dengan Arab Saudi sebelum ini, kita jangan terlalu negatif.
“Saya pergi ke Bahrain sebelum ini dan melihat Yaman beraksi tiga perlawanan. Mereka menggunakan satu formasi saja dalam kesemua perlawanan itu. Dalam perlawanan pertama Piala Asia menentang Bahrain, mereka kalah 0-2 tapi mereka bermain baik. Saya sudah memberikan maklumat mengenai cara Yaman bermain kepada pemain dan terpulang kepada mereka untuk menggunakannya di atas padang,” kata Rajagobal yang ditemui pemberita pada sesi latihan semalam.

Harimau Malaya menerima tamparan hebat menjelang pertemuan dengan Yaman pada aksi kedua kelayakan Piala Asia apabila tumpas 1-4 di tangan Arab Saudi pada perlawanan persahabatan antarabangsa di Stadium Shah Alam, Ahad lalu.

No comments:

Post a Comment