Thursday, 21 March 2013

Yemen akui serba kekurangan


SHAH ALAM - Jika mahu dibandingkan dengan bola sepak Yemen, segala kelebihan berpihak kepada Harimau Malaya menjelang Kelayakan Piala Asia 2015 di Stadium Shah Alam, esok.
Yemen tiba di negara ini semalam tanpa sebarang perlawanan persahabatan malah liga kebangsaan negara itu juga baru disambung dua minggu lalu.
Situasi itu membuatkan jurulatih Yemen dari Belgium, Tom Saintfiet sukar menyediakan skuad yang benar-benar bersedia untuk menghadapi Malaysia.
"Kami tiba di sini tanpa menempuh perlawanan persahabatan, tidak seperti Malaysia yang menentang Arab Saudi baru-baru ini.
"Perlawanan terakhir yang dilalui adalah ketika bertemu Bahrain pada perlawanan pertama kelayakan Piala Asia 2015 (6 Februari lalu).
"Saya juga tiada peluang menilai aksi pemain kerana liga di Yemen baru sahaja bersambung setelah lebih enam bulan tidak dijalankan kerana masalah kewangan dan keadaan politik yang tidak stabil, " katanya ketika ditemui selepas tiba di hotel penginapan pasukan negara itu di Shah Alam, semalam.
Menjelaskan faktor mengapa mereka tidak dapat mengadakan sebarang perlawanan persahabatan, Saintfiet menjelaskan ia berpunca daripada persatuan bola sepak negara itu yang sibuk menyelesaikan masalah dalaman.
"Sebenarnya saya mahu tiba di sini lebih awal, sekurang-kurangnya tujuh atau lapan hari sebelum perlawanan bagi menyesuaikan dengan cuaca.
"Saya mahu mengadakan perlawanan persahabatan menentang pasukan di negara rantau ini seperti Indonesia, Brunei atau Thailand namun persatuan bola sepak kami ada banyak masalah dan faktor kewangan, " katanya.
Biarpun berada pada ranking 170 dunia, Yemen bukanlah sebuah pasuka belasahan kerana hanya tewas 0-2 kepada Kuwait, Arab Saudi dan Iraq pada kejohanan Piala Teluk Januari lalu.
Masalah yang melanda skuadnya tidak mematahkan semangat Sainfiet.
Malahan dia menyifatkan pasukannya sama tahap dengan Harimau Malaya dan dia lega dengan kehadiran semula penyerang berbisanya, Ayman Al-Haqri.
"Malaysia sebuah pasukan yang baik berdasarkan aksi babak kedua (ketika menentang Arab Saudi) dan pemain anda, Safiq Rahim cukup berbahaya dalam situasi bola mati.
"Kami tiba di sini dengan motivasi yang tinggi dan berharap dapat mendapatkan keputusan yang positif, mungkin keputusan seri adalah keputusan yang adil," katanya.

No comments:

Post a Comment