Tuesday, 2 April 2013

Lahad Datu: Kaedah risikan taktik buru saki-baki pengganas


LAHAD DATU 2 April - Pasukan keselamatan kini menggunakan taktik risikan sebagai senjata untuk memburu saki-baki anggota kumpulan pengganas Kiram yang dipercayai meloloskan diri dengan menyamar sebagai orang awam.
Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd. Zin berkata, usaha menjejaki saki-baki pengganas yang dianggarkan kurang daripada 10 orang sedang giat dilaksanakan menerusi kaedah risikan dan mendapatkan maklumat daripada orang ramai.
"Bagaimanapun, besar kemungkinan kumpulan pengganas ini sudah tidak ada lagi di kawasan operasi pembersihan dan penggeledahan," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Yang hadir sama Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Datuk Abdul Rahman Hussin.
Dalam pada itu, Zulkifeli berkata, ketua penceroboh, Azzumudie dipercayai masih bersembunyi di selatan Filipina.
Menurutnya, suspek dipercayai cuba meloloskan diri daripada ditangkap pihak berkuasa Filipina atau mengelak ditemui orang ramai di negara jiran itu.
Sementara itu, katanya, dua Sekolah Kebangsaan (SK) di daerah ini iaitu SK Fajar Harapan dan SK Tanjung Labian akan dibuka semula pada Isnin depan.
Katanya, dua sekolah tersebut dibuka berikutan kepulangan semula penduduk ke kampung itu kelmarin, setelah suasana kembali selamat.
"Saya telah melawat SK Tanjung Labian semalam dan melihat guru-guru telah membuat persiapan untuk menyambung sesi persekolahan pada minggu hadapan, sekali gus menyaksikan tidak ada lagi sekolah di daerah ini yang ditutup," katanya. -

No comments:

Post a Comment