Ketika ini kita sudah mendengar berita Yuna menjadi artis naungan pemenang 16 trofi Grammy - David Foster dan sudah merakamkan beberapa lagu sentuhan beliau di bawah label Verve Music Group. Susulan daripada itu, Yuna dipilih menyanyikan lagu tema filem animasi terbitan DreamWorks Studios, The Croods arahan Kirk De Micco dan Chris Sanders yang kini ditayangkan di seluruh dunia. Ia meminjam suara Nicolas Cage, Ryan Reynolds dan Emma Stone.
Antaranya, Yuna muncul dalam program bual bicara bersama Jay Leno dan lagu itu juga menjadi pilihan penerbit American Idol musim ini. Hebat sungguh Yuna.
Kalau anda peminat Yuna, anda tentu tahu juga yang dia juga sebelum ini pernah merakamkan lagu lama The Beatles, Here Comes The Sun dalam versinya sendiri untuk ‘soundtrack’ filem Savages, arahan pengarah legenda Oliver Stone.
Saya kira Yuna sangat-sangat bertuah. Sinar bintangnya mula menyerlah sebagai sebutir berlian di angkasa. Hakikat ini kerana orang-orang yang gagah di Hollywood kini berada hampir dengannya. Kalau dalam bidang muzik, siapa tidak kenal dengan Foster yang sebelum ini bekerja dengan bertan-tan super–star seperti Whitney Houston, Michael Jackson, Celine Dion, Barbra Streisand, Toni Braxton, Mariah Carey, Beyonce dan Josh Groban.
Kalau sebut DreamWorks Studios pula, orang kuat atau pengasasnya adalah pengarah Jaws dan Jurassic Park, Steven Spielberg bersama rakan kongsinya, Jeffrey Katzenberg dan David Geffen. Ini bermakna, peluang untuk Yuna, ‘gadis semasa yang terukir di bintang’ ini semakin terbuka luas untuk menimba ilmu dan mengasah bakatnya di peringkat antarabangsa.
Jadi saya sangat berbesar hati apabila Yuna dalam kesibukan yang begitu ketara sekarang, masih bersetuju untuk menjadi penulis undangan di dalam sisipan RAP ini, dua minggu sekali pada setiap Rabu melalui kolumnya, Dan Sebenarnya...Yuna. Kalau tiada aral, kita juga terfikir untuk memberikan peluang kepada anda sendiri untuk bertanyakan soalan terus kepada Yuna dan kita akan siarkan kemudian dalam kolum istimewa Yuna itu, in–sya-Allah.
Dalam pada gembira dengan berita Yuna, kita juga terkejut apabila minggu lalu, mendengar khabar aktor muda kacak, Aeril Zafrel yang dalam diam-diam sudah dilamar produksi Barat untuk beraksi dalam sebuah filem cinta antara dua darjat bersama aktres handalan, Christina Ricci dan Sharon Stone.
Buat masa ini tidak banyak yang boleh didedahkan kerana Aeril terikat dengan kontrak namun khabar itu sudah cukup untuk peminat melihat pelakon kita pada skrin yang sama de–ngan bintang Hollywood. Kalau sebelum ini kita melihat Syed Alwi Syed Hassan dan Deanna Yusof dalam Anna and the King bersama Jodie Foster dan Chow Yun-Fat serta Datuk Michelle Yeoh bersama Pierce Brosnan (Tomorrow Never Dies), kali ini peminat akan dapat melihat lakonan ala kisah Romeo & Juliet antara Aeril dan Ricci pula.
Saya kagum dengan Aeril yang bersikap diam-diam ubi kerana dalam senyap-senyap dia bijak merebut peluang dan menyusun rencana untuk karier seninya. Saya tahu kalau ikutkan, kita mempunyai ramai pelakon yang hebat-hebat setaraf bintang Hollywood atau Bollywood namun masalahnya kita tidak mempunyai ‘contact’ atau kabel yang tepat untuk mengeksport bakat-bakat kita ke luar negara.
Saya kira artis seperti Yuna mahupun Aeril sangat bertuah kerana pengurusan mereka bijak mengatur strategi sehingga dapat membolosi tembok sebelah sana yang kebal namun berfikiran lebih terbuka dalam menerima apa saja yang dianggap X-Factor.
Dalam hal ini, agensi kerajaan seperti Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), syarikat rakaman antarabangsa, stesen penyiaran tempatan serta syarikat korporat yang menyokong dunia seni, boleh mengambil langkah proaktif untuk membantu memasarkan produk mahupun bakat-bakat kita ke luar negara.
Binalah kabel dan ‘contact’ yang lebih besar de–ngan studio-studio ternama di peringkat antarabangsa melalui pertemuan tertutup mahupun pelbagai festival filem terkemuka di serata benua. Hasilkan juga lebih banyak filem secara usahasama (joint venture - JV) dengan produksi asing yang berminat. Itu salah satu jalan untuk memperkenalkan siapa kita. Ingatlah, tiada apa pun yang percuma dalam dunia ini dan tentunya secara asas, kita perlu korbankan tenaga, masa dan wang ringgit kerana semua itu resipi pelaburan.
No comments:
Post a Comment