MENELAN belanja mencecah RM6 juta, filem Bola Kampung The Movie terbitan Animasia Studio Sdn. Bhd. dengan kerjasama Young Jump Animation mempertaruhkan suara artis sebagai pelaris untuk menarik lebih ramai penonton ke pawagam.
Filem animasi stereoskopik tiga dimensi (3D) pertama di Malaysia itu membabitkan beberapa artis terkenal tanah air sebagai juru alih suara antaranya Ezlynn, Afdlin Shauki, Marsha Milan, Aznil Nawawi, Noh Salleh, Harun Salim Bachik, Aizat Amdan dan Deanna Yusoff.
Menurut pengarah animasinya, Ah Loong dan Chua Chong Tee, filem tersebut memakan masa selama empat tahun untuk proses praproduksi dan meletakkan harapan tinggi untuk meraih penonton sempena cuti persekolahan ini.
"Kebetulan filem ini ditayangkan pada musim cuti sekolah dan pastinya sasaran kami adalah tontonan keluarga. Filem ini menghiburkan, tiada aksi ganas dan mempunyai jalan cerita yang menarik.
"Setiap karakter diberikan nyawa melalui suara-suara yang dipinjamkan oleh pelakon, penyanyi dan komposer tempatan. Ia dibentukkan dengan kreativiti tempatan yang bermutu tinggi. Secara tidak langsung pembabitan artis akan melariskan filem ini sebenarnya," kata Ah Loong ketika tayangan perdana Bola Kampung The Movie di GSC Signature, The Gardens, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Animasi pengembaraan
Filem Bola Kampung The Movie yang akan ditayangkan pada 21 Mac ini memaparkan elemen bersatu-padu dan keharmonian kaum di Malaysia, selain mesej persahabatan dan budaya yang kuat untuk disampaikan kepada penonton.
"Filem ini boleh berdiri sendiri kerana jalan ceritanya tidak bersangkut-paut dengan siri animasi. Cuma karakter saja yang dibawa ke versi filem," celah Chua Chong Tee.
|
|
Bola Kampung The Movie bermula sebagai siri televisyen animasi oleh Animasia Studio Sdn. Bhd. yang disiarkan melalui saluran RTM1, TV9 dan kemudiannya dialih ke bahasa Inggeris menggunakan tajuk Football Kids untuk ditayangkan di Disney Channel sejak tahun 2007.
Filem ini mengisahkan pengembaraan Puteri Amanda dari dunia permainan maya Kingdom Hill yang telah dihantar ke Kampung Gong Lechar untuk mencari Perwira Suria demi menyelamatkan kerajaannya yang diserang virus.
Puteri Amanda bertemu dengan Iwan, Azizul, Sabok, Kumar dan kawan-kawan baharu di kampung tersebut ketika hilang ingatan. Malang tidak berbau apabila Puteri Amanda ditangkap oleh seorang penjahat dan dilarikan ke Kingdom Hill.
Atas nama persahabatan dan kemanusiaan, Iwan dan kawan-kawannya membantu menyelamatkan Puteri Amanda dan kerajaannya dengan memasuki dunia maya sekali gus menghancurkan niat jahat Lord Vilus untuk menakluki Kingdom Hill.
Suara lelaki Ezlynn
Sementara itu, Noh Salleh yang baru pertama kali terlibat dengan pembikinan filem alih suara mengakui teruja melakonkan watak Dino dalam filem itu.
"Saya tiada latar belakang berlakon sebelum ini dan proses rakaman suara filem ini melalui proses pembelajaran yang menyeronokkan.
"Saya peminat tegar filem animasi dan peluang untuk terlibat dalam projek ini sukar untuk dilepaskan," katanya.
Dalam pada itu, Ezlynn yang ditawarkan watak utama iaitu seorang budak lelaki bernama Iwan tidak menyangka mampu menggalas tanggungjawab yang diamanahkan kepadanya.
"Saya ke studio Francis Cobb untuk merakamkan single tapi secara tidak sengaja mereka meminta saya untuk mencuba uji bakat suara budak lelaki.
"Selang beberapa minggu mereka menelefon saya dan menawarkan watak itu. Teruja kerana ini pertama kali saya melakukan alih suara budak lelaki walaupun kadang-kadang terkeluar 'Ezlynn' dalam watak Iwan," ujarnya yang biasanya perlu berlari terlebih dahulu untuk mendapatkan situasi sebenar dalam filem itu. - KHAIRUL AMRI HASSAN
No comments:
Post a Comment