Thursday, 21 March 2013

Palestin bantah kunjungan Obama


Seorang remaja Palestin memegang gambar Barack Obama bersama kasut, sebagai menentang kunjungan Presiden Amerika Syarikat (AS) itu ke Palestin di Ramallah, Tebing Barat, kelmarin. - AFP
RAMALLAH 20 Mac - Penduduk Palestin mahu lawatan Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama esok membawa lebih banyak pendekatan aktif negara itu dalam menyelesaikan konflik dengan Israel.
Antara isu utama konflik adalah pembinaan penempatan haram Yahudi di Tebing Barat dan penyelesaian penubuhan dua negara yang kini gagal dilaksanakan.
Ahli Parlimen Palestin, Mustafa Barghouti berkata, mereka kini dalam situasi kecemasan.
''Kita sudah kesuntukan masa. Sama ada penempatan haram dihentikan serta-merta atau penyelesaian penubuhan dua negara tidak akan berlaku,'' katanya kepada wartawan di sini, semalam.
Barghouti mengkritik sikap pasif masyarakat antarabangsa terutama AS apabila kerajaan pimpinan Presiden Palestin, Mahmoud Abbas merayu dunia menyokongnya secara kewangan dan memberi tekanan terhadap Israel bagi menamatkan 'cengkaman ekonomi' ke atas Palestin.
Beliau berkata, lawatan Obama akan memperbaharui tentangan diplomatik bermula dengan sepucuk surat kepada Presiden Switzerland berhubung penyertaannya kepada semua Konvensyen Geneva yang melibatkan undang-undang kemanusiaan.
''Kami perlu terbabit dalam semua agensi PBB dan sudah tentunya dengan Mahkamah Jenayah Antarabangsa terutamanya dengan berterusannya pembinaan penempatan haram Yahudi.
''Mungkin ada yang berfikir, kerana kami memerlukan bantuan antarabangsa, kami akan menukar prinsip kami, tetapi kebanyakan penduduk terutama golongan muda yang menyertai penentangan tanpa keganasan tidak akan mendapat faedah,'' katanya.
Dalam satu dokumen sidang penderma antarabangsa di Brussel semalam, Pihak Berkuasa Palestin (PA) menggesa semua rakan antarabangsa terutama di rantau Arab menimbang implikasi krisis fiskal semasa dan kemungkinan perubahan kepada keruntuhan institusi dan politik.
''Penjajahan Israel secara haram yang masih berterusan menutup kemungkinan penubuhan negara Palestin, menjadikan formula penubuhan dua buah negara tidak boleh diguna pakai,'' menurut dokumen itu.
Dokumen itu menyatakan pengiktirafan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada November lalu sebagai negara bukan anggota pemerhati, meningkatkan potensi kesamarataan antara Israel dan Palestin. - AFP

No comments:

Post a Comment