Wednesday, 20 March 2013

Tuduhan komando Malaysia mahu bunuh Jamalul Kiram cerita dongeng


KUALA LUMPUR 20 Mac - Dakwaan Jacel Kiram kononnya sepasukan komando tentera Malaysia kini berada di Filipina untuk membunuh bapanya, Jamalul Kiram III disifatkan sebagai cerita dongeng.
Sambil menafikan tuduhan itu, Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad berkata, dakwaan tersebut hanya dibuat bagi mensensasikan isu pencerobohan kumpulan pengganas Kiram di Sabah.
Malah, katanya, tindakan Jacel itu disifatkan amat tidak bertamadun, terdesak dan berniat jahat bertujuan menimbulkan kebencian rakyat Filipina terhadap Malaysia.
Menurut beliau, dakwaan kononnya seorang pegawai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berpangkat kolonel bernama Sunny Ng, mengakui merancang membunuh Jamalul juga tidak berasas kerana individu berkenaan tidak wujud dalam perkhidmatan ATM.
"Dalam sejarah Malaysia yang penuh berliku seperti menghadapi zaman konfrontasi dan pengganas komunis, kita sebagai sebuah negara berdaulat dan bertamadun tidak pernah sekali pun menjalankan 'operasi gelap' seperti itu," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau mengulas dakwaan Jacel kononnya seorang peguam Filipina, Mario Lozada memfailkan afidavit mengenai rancangan pembunuhan itu di Biro Siasatan Kebangsaan (NBI) negara tersebut hari ini seperti disiarkan portal Global Nation Inquirer.
Menurut Jacel, Lozada telah bertemu Sunny Ng di Restoran Genting Palace, kompleks kasino Resorts World Pasay City Isnin lalu dan Sunny memaklumkan Lozada mengenai rancangan pembunuhan itu.
Abdul Latiff memberitahu, Malaysia turut menunggu hasil siasatan NBI Filipina mengenai perkara itu dan sekiranya dakwaan tersebut benar, Jacel dan Lozada perlu tampil dengan fakta kukuh bagi membuktikan dakwaan tersebut.
"Tetapi Jacel harus ingat, segala dakwaan atau cerita dongeng yang disampaikannya kepada media Filipina tidak akan sesekali merencatkan Ops Daulat yang dijalankan Malaysia untuk membersihkan saki-baki pengganas kumpulan Kiram di Sabah," tegasnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment