Tuesday 19 March 2013

Malaysia bakal hab dokumentari di Asia Tenggara

KUALA LUMPUR 19 Mac - Malaysia bakal muncul sebagai hab bagi penghasilan dokumentari di Asia Tenggara melalui kerjasama di antara Perbadanan Kemajuan Filem Malaysia (Finas) dan karyawan antarabangsa.
Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Joseph Salang berkata, industri penerbitan dokumentari menunjukkan perkembangan yang positif sejak 2005 selepas kewujudan Polisi Filem Nasional.
"Menerusi polisi tersebut, sebanyak sembilan dokumentari dihasilkan secara bersama melibatkan Finas dan penyiar antarabangsa termasuk National Geographic, Discovery Channel dan AETN All Asia Networks pada 2012 yang menjangkau 290 juta isi rumah dalam 27 bahasa," katanya ketika berucap merasmikan forum 'Asian Side of The Doc 2013 (ASD)' di sini hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pengerusi Finas, Datuk Md. Afendi Datuk Hamdan.
Forum anjuran bersama Finas dan syarikat penerbitan dari Singapura, Kumpulan Bang Media itu berlangsung mulai hari ini hingga 22 Mac dan dihadiri lebih 100 penyiar dari 35 negara Asia, Eropah serta Asia Barat.
Sementara itu, Pengarah Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) Kandungan, Infrastruktur, Komunikasi dan Pertanian, Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu), Dr. Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek berkata, kerajaan turut menyediakan insentif serta dana khusus bagi menarik lebih ramai penerbit tempatan menghasilkan dokumentari ke peringkat global.
Katanya, antara pencapaian terbaik industri itu di bawah NKEA adalah merekodkan RM500 juta bagi eksport filem serta dokumentari sepanjang 2012.
"Tahun ini kita menyasarkan RM600 juta eksport dengan adanya studio Pinewood Iskandar Malaysia, Johor yang dijangka siap pada Mei tahun ini. Ia diharap mampu merancakkan industri perfileman dan penerbitan bukan sahaja di negara ini bahkan Asia Tenggara," katanya.

No comments:

Post a Comment