Thursday, 21 March 2013

Serangan siber berlaku di Korea Selatan



SEORANG lelaki (kiri) cuba untuk menggunakan sebuah Mesin Teler Automatik semasa serangan siber berlaku di Seoul.-AP


SEOUL - Rangkaian komputer di dua bank utama dan tiga stesen penyiaran televisyen terkenal di negara ini digodam semalam.
Serangan tersebut menyebabkan mesin-mesin pengeluaran dan memasukkan wang lumpuh di seluruh Korea Selatan.
Agensi Keselamatan Maklumat menyatakan, serangan siber itu berlaku pada pukul 2 petang waktu tempatan apabila imej tengkorak muncul pada sejumlah skrin komputer.
Menurut pihak polis dan para pegawai Korea Selatan yang menyiasat kes itu menyatakan punca serangan tersebut masih belum jelas.
Namun, terdapat spekulasi bahawa serangan siber itu dilakukan oleh Korea Utara. Sebahagian komputer mula beroperasi selepas lebih dua jam dan 30 minit tergendala.
Kejadian itu berlaku selepas Korea Utara dikenakan sekatan barang mewah oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu kerana melakukan ujian nuklear pada Februari lalu.
Sebuah kumpulan yang tidak dikenali yang bernama Whois Team mengaku menggodam komputer-komputer itu.
Komputer-komputer yang terjejas itu ialah milik rangkaian televisyen YTN, MBC dan KBS.
Ia turut menjejaskan komputer Bank Shinhan dan NongHyup.
Di sebuah kedai kopi Starbucks di sini, para pelanggan diminta untuk membayar tunai manakala terdapat barisan di mesin-mesin pengeluaran dan memasukkan wang semasa kejadian tersebut berlaku.
Kementerian Pertahanan Korea Selatan menyatakan, ekoran kejadian itu, pihak tentera meningkatkan tahap berjaga-jaga berhubung serangan siber.
Bagaimanapun, para pegawai pertahanan melaporkan tiada tanda-tanda serangan siber berlaku pada rangkaian komputer kementerian tersebut. - Agensi

No comments:

Post a Comment